Zaman Kerajaan Madani amalkan politik ‘budak-budak mentah’

Visual dari udara menunjukkan keadaan Sekolah Kebangsaan Seri Banai, di Kedah yang dilanda banjir pada minggu lalu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyifatkan isu larangan membersihkan sekolah terjejas banjir sebagai amalan politik ‘budak-budak mentah’ pada zaman Kerajaan Madani hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, ia berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman Kerajaan Madani yang mahu membawa perubahan dan reformasi dalam politik arus perdana.

- Advertisement -

“Semua parti politik di Malaysia perlu membudayakan politik matang dan sejahtera yang diamalkan oleh PAS demi mencapai keharmonian antara rakyat.

“Kerja-kerja operasi bantuan banjir dan pembersihan rumah di rumah mangsa-mangsa banjir giat dijalankan oleh Pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) dan Jabatan Amal Malaysia (JAM) dengan bersungguh-sungguh.

“Namun, mereka menghalang petugas Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia daripada masuk ke sekolah untuk menjalankan operasi-operasi pembersihan pasca banjir,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, ujar kenyataan itu, semua wakil rakyat juga turut tidak ketinggalan membantu semua mangsa banjir tanpa mengira warna politik di saat rakyat di negeri-negeri utara menghadapi musibah banjir.  

Dalam pada itu, Pemuda PAS Malaysia mengucapkan terima kasih buat Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia yang telah bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir dan telah melakukan operasi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir.

Sebelum ini, Khidmat Malaysia selaku sebuah pertubuhan Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia melalui Pengerusinya, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary dalam kenyataan telah  menzahirkan rasa terkilan dan dukacita apabila terdapat halangan pihak tertentu yang melarang sekutunya, Sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia daripada memasuki sekolah di bawah  Kerajaan Persekutuan, iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Banai, di Kedah bagi tujuan membersihkan premis sekolah yang terjejas akibat banjir di negeri itu.

Namun laporan itu juga menyatakan bahawa Yang Di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan seluruh jawatankuasa sekolah itu kemudian bertindak bijak dalam membenarkan Khidmat Malaysia dan rakan-rakan sekutunya itu untuk berkhidmat kepada warga SK Seri Banai. – HARAKAHDAILY 26/9/2024

- Advertisement -