
Allah menyebut dengan jelas. Nabi Muhammad diutuskan bukan untuk orang Quraish sahaja, orang Arab sahaja, tetapi ‘rahmatan lil’alamin’ iaitu membawa rahmat ke seluruh alam.
Maknanya, ajaran Islam adalah untuk seluruh makhluk. Setiap makhluk ada alamnya tersendiri. Kerana ajaran Islam melindungi semua makhluk yang ada.
Islam mengajar kita supaya menjaga nyawa iaitu tidak boleh menumpahkan darah dengan tanpa sebab. Kita juga tidak boleh menjatuhkan maruah seseorang.
Oleh sebab itu, ada hukum Qazaf dalam Islam. Kita tidak boleh menuduh seseorang minum arak atau berzina tanpa ada bukti kerana ia boleh menjatuhkan maruahnya.
Hukuman bunuh, rejam dan sebat terhadap orang yang berzina sebab nak menjaga keturunan. Sekiranya zina terus dibiarkan, nasab keturunan kita akan bercampur aduk.
Syariat Islam menjaga lima perkara iaitu hifzu ad-din (jaga agama), hifzu al-‘aql (jaga fikiran), hifzu an-nasab (jaga keturunan), hifzu al-mal (jaga harta) dan hifzu al-‘irdh maruah (jaga maruah).
Jaga agama adalah yang paling utama. Yang kedua, jaga fikiran sebab sekiranya gila, maka tiadalah hukum ke atasnya. Yang ketiga, jaga keturunan seperti yang disebut di atas.
Yang keempat, jaga harta, oleh sebab itu, tidak boleh mencuri, merompak, menipu atau merampas harta orang lain.
Yang kelima, jaga maruah, jadi tidak boleh menuduh tanpa sebarang bukti. Benda belum jelas, tetapi kita sudah sebarkan ke dalam ‘WhatsApp group’ atau kedai kopi.
Yang berkait dengan binatang pula, misalnya bab sembelihan. Syarat sembelihan adalah pisau mesti tajam. Tidak boleh menggunakan pisau yang sumbing, atau tumpul kerana akan berlaku zalim terhadap binatang. Pisau yang tajam tidak akan menyeksa dan menyakitkannya. Ia dapat mendidik sifat ihsan terhadap binatang.
Dalam peperangan juga, pedang mestilah tajam. Apabila kita tetak musuh, dia akan terus mati. Tidaklah kita tetak, tetapi dia masih duk bernafas dalam kesakitan lagi, kasihanlah.
Dalam bab istinja, kita tidak dibenarkan beristinja dengan menggunakan tulang binatang. Sebab tulang adalah makanan jin. Sekiranya tulang tercemar, apa lagi yang nak dimakan oleh jin? Jadi, Islam menjaga kepentingan jin sehingga kita tidak boleh mencemarkan rezekinya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















