
ENTAH apa malang yang sedang menerkap tanah leluhur ini, kepimpinan pragmatis liberal yang sedang meletakkan agama sebagai bahan sampingan dan penyeri pilihanraya semata- mata.
Isu yang meresahkan seperti tajaan arak jenama Tiger, Menteri ‘jahil tukir’ yang tak kenal rukuk dan sujud, juga perbalahan khilafiah yang menjarakkan ummah termasuk perlecehan kepada ulama oleh anak-anak muda ‘kail panjang sejengkal’.
Zaman edan (gila) ini juga menyaksikan membuncahnya (menimbulkan kegelisahan) fahaman liberal dan pluralisme agama.
Jamak agama atau pluralisme agama di atas nama keharmonian kaum, keserasian etnik, toleransi beragama dan merapatkan jurang segregasi kaum adalah racun yang membunuh akidah.
Simptom ini makin mencolek mata dan nurani kita semua yang beriman. Berdoa beramai-ramai dengan pelbagai fahaman agama di perkuburan bukan Islam, iftar jamaie di rumah ibadah bukan Islam, kongsi raya bahkan meletakkan semua agama menuju ke arah syurga dan semua agama menuju kearah kebenaran adalah fahaman jamak agama yang membaham kemuliaan Islam.
Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo- muktazilah, dalam sejarahnya sangat bejat (buruk) menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas dizaman transisi pasca Mei 1998.
Pluralisme di Indonesia ditentang sejak zaman Soekarno lagi, Prof Dr Hamka telah membayar harga yang mahal sehingga dipenjara dalam penjara Cipinang Jakarta. Perkahwinan campur bersemarak termasuk oleh artis dan selebriti, berkongsi rumah ibadah juga tak menjadi kepelikan kepada penyokong pluralisme agama ini.
Negara kita minggu ini menyaksikan polemik sambutan perayaan Bon Odori, satu perayaan yang berasal daripada Jepun yang diamalkan sejak 500 tahun dahulu.
Perayaan ini bukan sekadar santai budaya namun meliputi ritual memuja roh nenek moyang yang diklasifikasikan oleh pihak autoriti agama sebagai syirik terhadap Allah SWT.
Penulis teringat dua tahun lepas apabila Menteri Agama (JPM) saat itu, Datuk Idris Ahmad telah menegaskan agar umat Islam menjauhi perayaan ini agar tidak tergelincir akidah.
Respons yang sama muncul daripada Mufti Pulau Pinang dua tahun lalu agar ummah menjauhi acara ritual ini. Di negara kita, dalam tahun 1977, perayaan ini dirayakan oleh kelompok ekspatriat Jepun, namun akhirnya kuat tarikan pesonanya digemburkan oleh umat Islam sendiri.
Betapa tololnya umat ini daripada kelas ningrat sehinggalah kutu jalanan yang mempunyai peranti pintar.
Tanpa ilmu dan rasa malu kepada Allah SWT, masing- masing memberikan pandangan bermuarakan akal nafsu agar perayaan Bon Odori mempunyai kewajaran untuk disambut.
Ini termasuk langkah sumbang kerajaan Selangor yang memberikan keizinan untuk perayaan Bon Odori disambut (lega barangkali apabila PAS bukan sebahagian daripada kerajaan Selangor).
Akira Takasaki dan Minoru Hirata pun tidak pernah menyeru agar disambut perayaan puja ruh nenek moyang ini walaupun mereka berbangsa Jepun yang menganut agama Buddha Shinto!.
Dengan terjahan dunia langit terbuka, kelompok penyokong pluralisme agama ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka.
Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.
Di ruang komen medsos ,bergentayangan ulasan – ulasan yang berlunak dengan acara ini seolah hadir mereka seperti acara santai di pasar malam.
Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini.
Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman pluralisme agama sebagai cabang daripada kesesatan Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai lokasi dan kondisi.
Ia adalah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh menyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar.
Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”.
Zaman Madani ini keadaan semakin punah, lihat sahaja isu doa kepada mangsa mangsa tragedi 13 Mei di Sungai Buloh dua bulan lepas.
Kelmarin dulu dengan 40 000 peserta ke acara Bon Odori di Selangor, kononnya sebagai strategi menarik pelancong luar ke negeri di bawah Pakatan Harapan itu.
Isu menyanggah pluralisme agama bukanlah perkara baru, antara yang pernah menjadi isu ialah tentang sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian).
Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot, dogmatik atau berfikiran tertutup.
Pada pandangan akal sempit mereka mereka hukum syariat Islam adalah ciptaan ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan termasuklah hukum-hakam syariat yang qatie.
Antara hukum-hakam syariat yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula.
Wahai umat Islam jauhi perayaan Bon Odori, jangan jadi manusia tolol yang menolak peringatan yang diberikan oleh ar Rasul SAW, “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka termasuklah mereka dalam kaum tersebut.”
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 22/7/2024




















