
KATA ulama, tanggungjawab kita sebagai orang beriman adalah perlu berusaha menubuhkan kerajaan yang melaksanakan perintah Allah SWT.
Ada pandangan yang menyatakan bahawa kita perlu mengembalikan semula sistem Khilafah seperti yang ada di Tanah Arab suatu ketika dahulu. Pandangan ini dibawa oleh Rashid Ridha dan anak muridnya, Muhammad Abduh. Di India, Gerakan Khilafah dibawa oleh Syeikh Ahmad Sirhindi.
Yang pentingnya adalah mesti ada sebuah kerajaan yang meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai dasar. Kalau tidak, banyak kepentingan orang Islam tidak akan terbela. Contohnya, orang Islam di Bosnia, tiada siapa yang membela mereka. Di Kashmir pun sama. Kini yang berlaku di Palestin.
Orang Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada negara atau tiada kuasa politik Islam. Walaupun banyak negara yang diperintah oleh orang Islam dan kaya-raya, tetapi tidak boleh melakukan apa-apa.
Sesetengahnya buat bodoh sahaja. Sepatutnya orang Islam ini seperti yang disebut oleh Nabi dalam hadis, orang Islam ibarat satu tubuh. Kalau satu bahagian sakit, bahagian lain juga akan terasa sakitnya.
Namun, apa yang kita mampu lakukan saat ini adalah berdoa, menghantar sumbangan dan boikot sehingga ada yang berjaya ditutup perniagaannya. Nak membela lebih daripada itu, kita tidak mampu.
Oleh sebab itu, pentingnya sebuah negara dan kuasa politik Islam. Barat memang berusaha supaya tiada kuasa politik Islam. Sekiranya ada, Barat akan menekan.
Iran walaupun bermazhab Syiah, merupakan satu-satunya negara yang berani bercakap dan menghantar bantuan kepada Palestin.
Pada bulan Muharram, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah Nabi ke Madinah, bukan Habsyah. Baginda menubuhkan negara di Madinah.
Nak kata pentingnya negara. Islam bukan setakat solat, puasa dan membaca al-Quran, tetapi kuasa politik.
Sesetengah ulama menyebut, Islam merupakan al-Quran dan pedang. Barulah apa sahaja yang disebut oleh al-Quran boleh dilaksanakan apabila adanya pedang. Ketika membaca khutbah, kita sekarang memegang tongkat.
Pada asalnya adalah memegang pedang. Nak kata, Islam ini perlu ada kerajaan. Kalau tidak, banyak perkara tidak dapat dilaksanakan dan kepentingan umat Islam tidak dapat dibela dan dijaga. – HARAKAHDAILY 21/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















