
Kenyataan Media
PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa ( ICJ ) semalam yang memutuskan bahawa pendudukan regim Zionis Israel di bumi Palestin selama berdekad-dekad adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perlu ditamatkan segera.
Keputusan ini sewajarnya menguatkan lagi keazaman komuniti dunia ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka seterusnya menghentikan dengan segera serangan ganas yang kejam tentera regim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Ia juga sewajarnya menjadi “tanda aras” kepada negara-negara di dunia khususnya negara Dunia Islam yang menjalinkan hubungan diplomatik atau “normalisasi “ dengan regim Zionis Israel di mana ia perlu diputus atau ditamatkan dengan segera kerana ia seolah-olah bersekongkol dengan penjajah mahupun regim yang bermaharajalela membunuh puluhan ribu rakyat Palestin.
Dengan keputusan ini juga, adalah perlu kepada komuniti dunia khususnya PBB dan Majlis Keselamatan PBB untuk menggesa dan menekan regim Zionis Israel agar dengan serta-merta menghentikan penjajahan dan seterusnya keluar dari bumi Palestin.
Sudah terlalu lama rakyat Palestin dijajah, ditindas dan dizalimi di tanah air mereka sendiri. Sudah sampai masanya dunia bertindak menghentikan penjajahan dan kezaliman regim Zionis Israel seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan rakyatnya.
Adil, Prihatin dan Berkebajikan.
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 20/7/2024




















