
ADA dua pandangan mengenai kitab az-Zabur. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa kitab az-Zabur ialah kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi selain daripada Taurat, Injil dan al-Quran.
Pandangan yang kedua menyatakan bahawa kitab az-Zabur ialah kitab khusus yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s. tetapi, ulama berpandangan bahawa az-Zabur merujuk kepada semua kitab selain Taurat, Injil dan al-Quran yang diturunkan kepada nabi-nabi.
وَلَقَدۡ كَتَبۡنَا فِی ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ یَرِثُهَا عِبَادِیَ ٱلصَّـٰلِحُونَ
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”. (Al-Anbiya: 105)
Ada dua pandangan mengenai bumi yang disebutkan dalam ayat ini. Yang pertama, bumi yang disebut bermaksud bumi syurga di akhirat, bersesuaian dengan ayat-ayat sebelumnya yang menceritakan peristiwa hari kiamat.
Ada juga yang menafsirkan bahawa bumi yang disebutkan ialah bumi kita di dunia iaitu janji Allah bahawa dunia ini akan diwarisi oleh hamba-hambaNya yang soleh apabila tiba masanya nanti.
Allah tidak membenarkan orang jahat memerintah dunia selama-lamanya. Ada silih ganti. Pemimpin yang melanggar ketentuan Allah SWT akan jatuh dan orang lain akan naik.
Jika orang lain itu melakukan perkara yang tidak baik, dia juga akan diganti. Pada setiap masa, Allah akan memastikan bahawa dunia ini diperintah oleh orang yang baik.
Ada satu pendapat yang menyatakan bahawa seseorang pemimpin yang adil walaupun bukan Islam, dia akan dilindungi oleh Allah SWT. Perkara tersebut juga disebut di dalam kitab Siasah Syar’iyyah kerana dia membawa keadilan kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 19/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















