
LAS VEGAS: Presiden Amerika Syarikat,Joe Biden telah disahkan positif Covid-19 dan mengalami gejala ringan penyakit yang pernah membunuh ribuan nyawa di seluruh dunia itu.
Setiausaha akhbarnya, Karine Jean-Pierre berkata pada hari ini, Biden telah divaksin dan diberi rangsangan perubatan.
Biden, 81, yang diuji positif Covid-19 sebelum ini dilihat pada awal hari Rabu melawat penyokongnya di Las Vegas dan berucap dalam sebuah acara keramaian, namun kemudian membatalkan ucapan kempen lewat malam, lapor BBC.
Penyakit itu datang ketika dia menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk berundur dari pilihan raya presiden merujuk kepada usianya.
Terdahulu, beliau hanya akan menarik diri daripada mewakili Parti Demokrat dalam pilihan raya presiden AS pada tahun ini jika doktor mendapati dirinya mempunyai masalah kesihatan.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika ramai kalangan pemimpin dalam parti itu mendesak Biden, 81, untuk berundur daripada bertanding, termasuk ahli kongress dari California, Adam Schiff yang sebelum ini menggesa Biden untuk ‘memberikan obor’ kepada calon lain, lapor Arab News pula.
“Jika saya mempunyai beberapa masalah perubatan yang muncul, jika seseorang, jika doktor datang dan berkata ‘anda mempunyai masalah ini, masalah itu,’ ujar Biden apabila ditanya apa yang boleh membuatkan beliau berfikir semula sama ada mahu kekal bertanding ataupun tidak.
Schiff merupakan ahli kongres Demokrat pertama yang menyeru agar Biden menarik diri daripada bertanding sejak percubaan pembunuhan terhadap Trump pada Sabtu, yang telah memadamkan suara-suara kebimbangan yang semakin meningkat terhadap Biden.
“Penggal kedua pentadbiran Trump kedua menjejaskan asas demokrasi kita, dan saya mempunyai kebimbangan serius sama ada presiden (Biden) boleh mengalahkan Donald Trump pada bulan November,” katanya.
Biden bagaimanapun mempertahankan keputusannya untuk terus kekal bertanding menentang bekas presiden dari Republikan, Donald Trump pada 5 November ini, sambil menjelaskan mengapa dia tidak menyerahkan kepada generasi muda selepas satu penggal pentadbirannya.
“Saya berkata saya akan menjadi calon, dan saya fikir saya boleh beralih daripada ini, memberikannya (pencalonan) kepada orang lain. Tetapi saya tidak menjangkakan perkara menjadi begitu, jadi berpecah-belah,” katanya.
Biden telah berjuang untuk kelangsungan politiknya sejak sesi perdebatan hambarnya dengan Trump tiga minggu lalu, di mana penampilannya yang letih dan ‘keliru’ mencetuskan kebimbangan mengenai usia dan kemampuannya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















