Jumlah kes denggi meningkat 7.2 peratus

Hilmi Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di Kelantan sehingga 13 Julai lepas sebanyak 1,188 kes dengan satu kes kematian.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, jumlah kes tahun ini meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2023 sebanyak 1,108 kes.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Menurut beliau aktiviti kawalan vektor yang dijalankan antaranya pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

“Sehingga 13 Julai lepas sejumlah 270,246 premis diperiksa tempat pembiakan aedes dan 1,000 kompaun dengan nilai RM500,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes.

“Pengkompaunan dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154],” ujarnya pada kenyataan hari ini.

Oleh itu kata beliau bagi membendung penyakit demam denggi terus merebak,  orang ramai perlu meluangkan masa 10 minit setiap minggu bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu melaksanakan gotong-royong sekurang-kurangnya satu jam setiap bulan.

“Usaha membersih kawasan persekitaran taman, kampung, pejabat, tempat kerja, sekolah, institusi pengajian tinggi dan lain-lain lokasi perlu dilakukan.

“Dan menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa dalam rumah,” katanya lagi.

Hilmi juga berkata, orang ramai boleh mengelakkan gigitan nyamuk Aedes dengan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah ketika berada di luar rumah.

Selain itu menutup rapat atau meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal.

Beliau turut mengingatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -