
ORANG beriman tidak gementar dan sedih dengan kejutan yang berlaku pada hari kiamat kerana iman menjaganya. Dia yakin bahawa benarlah janji Allah tatkala melihat gunung meletup dan laut menyala.
Dia ada pegangan dan tidak berasa bimbang kerana dia mengetahui Allah akan menjaganya. Orang kafir pula tidak dapat berpegang dengan apa-apa.
Ibarat apabila kita sesat, tiba-tiba ternampak helikopter datang, kita akan berasa selamat. Tetapi, kalau kita seorang diri dan tidak tahu apa-apa, maka ‘kenalin’.
Itulah pegangan orang beriman yang yakin dengan janji Allah SWT. Dia tidak takut walaupun datanglah besar mana sekalipun bencana kiamat.
Bahkan, malaikat akan datang menyambutnya setelah itu dan memberitahu bahawa ia sepertimana yang Allah janjikan. Masuk ke dalam syurga dan memperoleh segala nikmat dan kebaikan.
Pada hari kiamat, dunia yang kita duduk sekarang sudah tiada. Ibarat kita menggulung tikar lama dan menghampar yang baru. Dunia tiada, kemudian datang alam baru yang dipanggil sebagai alam akhirat.
Seperti kita berpindah dari kampung dan tinggal di bandar. Dari rumah setinggan ke rumah flat. Begitulah ibaratnya, bertukar tempat.
Pada masa itulah, sama ada kita akan hidup dalam nikmat atau azab. Inilah kuasa Allah SWT yang menjadikan alam akhirat ialah alam baru.
Kita suka meniru, contohnya, di Kuala Lumpur ada nasi kerabu dan kak wok. Di Kelantan pula ada nasi mandy sedangkan ia berasal dari Yaman. Namun alam akhirat tiada sedikit pun iras alam dunia.
Tidak ditiru di mana-mana, sebab Allah yang membuatnya. Jadi, apabila muncul alam baru, kita sudah tidak mengenalinya apatahlagi nak membandingkannya dengan alam sebelum ini. – HARAKAHDAILY 18/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















