
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani tidak memberikan jawapan yang jujur berhubung urus niaga penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan mendakwa urus niaga tersebut adalah transaksi komersial semata-mata yang tidak mendatangkan sebarang implikasi kewangan dalam Sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat pada Isnin (15 Julai) yang lalu.
“Ini yang menyebabkan timbulnya satu persoalan iaitu bagaimana kerajaan boleh katakan ini transaksi komersial semata-mata tanpa implikasi kewangan kepada kerajaan?” katanya dalam media sosial Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan ingin menunjukkan seolah-olah wang rakyat tidak akan digunakan dalam melakukan urus niaga penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP milik BlackRock.
Namun begitu, kata beliau, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad sendiri menerima dan menguruskan dana daripada rakyat itu sendiri.
“Bukankah KWSP dan Khazanah menerima dan menguruskan dana awam daripada pencarum dan modal kerajaan yang dipungut daripada cukai rakyat?
“Sekiranya berlaku perkara buruk daripada penswastaan MAHB ini seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini, kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung liabiliti dan kerugian yang akan ditinggalkan oleh MAHB akibat urus niaga GIP-BlackRock yang diuruskan oleh Khazanah-KWSP ini,” jelasnya.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara, akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).
Namun begitu, Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus).
Sehubungan itu, Fayhsal menegaskan bahawa KWSP dan Khazanah adalah syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC), milik semua rakyat negara ini.
Beliau menyatakan tidak mahu membiarkan kesemua wang rakyat negara ini digunakan untuk membantu mana-mana syarikat yang bersekongkol dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Maka, kami semua ulang sekali lagi iaitu tangguh dan batalkan penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis BlackRock yang memiliki GIP ini kerana kami tidak sesekali pun reda wang caruman kami digunakan untuk menbantu pembunuhan beramai-ramai di Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024




















