Rayer gagal usul Peraturan 36 (1) ganggu Fayhsal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Percubaan RSN Rayer (PH Jelutong) mengganggu perbahasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam perbahasan Rang Undang-undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024, gagal apabila ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal yang ketika itu baru sahaja bangun untuk mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai perkara tersebut, tetapi  diganggu Rayer ketika beliau menyentuh tentang isu Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dan Global Infrastructure Partners (GIP)-BlackRock Inc. (BlackRock).

- Advertisement -

Rayer bangun dengan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (1) iaitu ‘Seseorang Ahli Dewan apabila membahaskan rang undang-undang yang meminda akta induk hanya perkara-perkara yang berkaitan rang undang-undang itu sahaja dibenarkan’.

“Kita membahaskan isu keselamatan tanah air kita. Apa kena mengena dengan BlackRock?” soal  Rayer.

Speaker Datuk Dr Ramli Md Nor kemudian membuat keputusan bahawa penggunaan peraturan mesyuarat itu tidak terpakai dalam situasi tersebut.

“36(1) adalah pindaan kepada undang-undang. Ini undang-undang baharu. Untuk Yang Berhormat Machang saya benarkan kerana ia melibatkan pintu masuk.

“Tetapi saya minta maaf, cukup masa saya akan hentikan. Kita ada kekangan masa. Saya guna 37(2). Saya boleh lewatkan hanya dalam 15 minit,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu.

Wan Ahmad Fahysal kemudiannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Speaker atas keputusan yang dibuat.

“Terima kasih tuan Yang Dipertua, minta maaflah Yang Dipertua, (Ahli Parlimen) Jelutong kacau saya. Tetapi betul, saya hanya bagi mukadimah dan berkaitan rapat dengan rang undang-undang ini.

“Apa yang saya nak bangkitkan di sini tuan Yang Dipertua, rakyat Malaysia tidak yakin. Kita bersetuju dengan rang undang-undang ini kalau mana MAHB ini dikawal penuh oleh pemiliknya iaitu rakyat Malaysia, tidak dijual kepada pegangan asing,” ujarnya.

Menurut Wan Ahmad Fahysal, daripada maklumat yang diterima bahawa dengan menjual saham kepada GIP dan BlackRock, MAHB akan dikuasai pengurusannya oleh entiti asing yang pro-Zionis.

“Ini menimbulkan tanda tanya tuan Yang Dipertua kerana segala lapangan terbang yang digariskan ada undang-undang ini bukan semua lapangan terbang tersebut membuat keuntungan yang sewajarnya khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Jadi, apakah jaminan daripada pihak kerajaan khususnya Khazanah dan KWSP bahawasanya dengan penswastaan MAHB ini akan mampu meningkatkan keselamatan dan kemampuan pengurusan lapangan terbang ini yang akan membantu rang undang-undang ini mencapai matlamat dan objektifnya?” soalnya.

Beliau menegaskan, itu adalah perkara yang dipersoal dan dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional selama ini.

“Bahawasanya rakyat Malaysia tidak yakin dengan penjualan MAHB ni kerana ia akan menggugat kemampuan ‘single border agency’ ini untuk menjalankan tugas dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -