
KUALA LUMPUR: Beberapa kes insiden kemalangan melibatkan pembinaan lebuh raya di laluan awam menjadi seperti ‘laluan maut’ yang memerlukan perhatian Kementerian Kerja Raya untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak berulang.
Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, kes insiden melibatkan pembinaan ini juga sehingga ada kenderaan pengguna dihempap runtuhan pembinaan kren dan sebagainya seperti yang berlaku di pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Klang (SUKE).
“Oleh itu adakah pihak kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP khusus aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran dengan laluan awam.
“Ini kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa pengguna,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, menurut beliau, Kementerian Kerja Raya juga perlu bersedia untuk memastikan laporan siasatan berhubung insiden yang meragut nyawa pengguna didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan kepentingan ramai selain kontraktor binaan lain turut mempelajari kelemahan yang berlaku dan supaya ia tidak berulang.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam jawapannya berkata, pihak kementerian sentiasa berusaha memperbaiki SOP tersebut.
Beliau juga berkata, berkenaan pendedahan laporan kejadian tersebut bergantung kepada skala insiden kemalangan tersebut yang mana jika berskala besar baharu kemungkinan akan didedahkan, dan juga sebaliknya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, apakah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kepada pihak kontraktor bagi memastikan pembinaan lebuh raya ini tidak menjadi punca kepada kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh; dan berapa kos bagi pampasan tanah bagi Fasa 1B dan adakah kesemua pampasan telah diselesaikan. – HARAKAHDAILY 16/7/2024











