Pantau sukarelawan dari Singapura ajar Bahasa Inggeris

Kalam Salan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemantauan wajar dilakukan terhadap sukarelawan dari Singapura yang dihantar untuk mengajar Bahasa Inggeris di negara ini.

- Advertisement -

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam), mengemukakan soalan itu pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mengutarakan persoalan penting mengenai skim bantuan atau program sukarelawan dari Singapura yang bertujuan mengajar Bahasa Inggeris di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak.

Katanya, pemantauan dan kawalan terhadap sukarelawan itu serta peranan mereka dalam konteks sistem pendidikan tempatan.

“Saya ingin bertanya, siapakah yang akan memantau sukarelawan ini dalam menjalankan tugas sebagai guru Bahasa Inggeris di kawasan-kawasan tersebut.

“Adakah Kementerian Pendidikan melalui pegawai-pegawainya di Jabatan Pendidikan Negeri dan pentadbir sekolah akan memantau?” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan memastikan sukarelawan itu terikat kepada peraturan-peraturan yang sama seperti guru tempatan, termasuk melibatkan diri dalam aktiviti sekolah dan panel Bahasa Inggeris.

Katanya, perkara itu adalah untuk mengelakkan situasi yang pernah berlaku sebelum ini di mana guru penutur jati yang diambil untuk memperkasakan pengajaran Bahasa Inggeris hanya memantau dan tidak mengajar secara langsung.

“Guru penutur jati yang diambil sebelum ini lebih kepada memantau, ‘observe’ guru-guru sahaja.

“Mereka tidak masuk mengajar, jadi tidak sampai kepada sasaran, kita hendak guru penutur jati dulu supaya murid-murid juga biasa bercakap Bahasa Inggeris dengan mereka.

“Tetapi apa yang berlaku, guru penutur jati ini lebih suka belajar Bahasa Melayu pula,” jelas beliau.

Dalam soalan asal, Kalam meminta penjelasan daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan perancangan khusus mengenai program berkenaan.

Beliau juga mengutarakan kebimbangan mengenai komitmen sukarelawan itu yang mungkin terjejas oleh sifat sukarela program tersebut.

“Sukarela ni kalau suka dia rela, kalau tak suka dia tak rela. Jadi kita kena berhati-hati dalam hal ini,” tambahnya.

Beliau berharap Kementerian Pendidikan akan memastikan pemantauan yang rapi terhadap sukarelawan terbabit untuk memastikan program itu mencapai matlamatnya dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di kawasan-kawasan yang memerlukan.

Menteri Pendidikan, Fadzlina Sidek, berkata, pemantauan akan dibuat oleh pihak kementerian. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -