Pengurusan aktiviti UiTM Holdings perlu teratur, cekap

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh mempertimbangkan pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan KPT.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),  Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UiTm Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.

- Advertisement -

“Dalam hal ini, PAC mengambil maklum dengan tindakan penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM dalam memastikan kawal selia anak syarikat agar mampu menjanakan keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan,” katanya dalam kenyataan media PAC semalam.

Menurut beliau, PAC telah mengadakan Prosiding Tindakan Susulan Pegawai Pengawal ke Atas Syor-syor PAC Parlimen bagi Laporan PAC Parlimen DR.3/2024 pada 9 Julai 2024.

Tambahnya, antara saksi yang hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Dr. Shahrazat Ahmad, Ketua Setiausaha (KSU) KPT Dato’ Seri Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahibuddin dan  Penolong Pengurus Besar UHSB Syed Azharuddin Al-Habshi.

Mas Ermieyati Samsudin

“Dalam setiap tindakan susulan terhadap syor laporan PAC, Jawatankuasa ini turut memberikan ulasan kepada setiap tindakan susulan berkenaan.

“Dalam hal ini, PAC mengambil maklum dengan tindakan penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM dalam memastikan kawal selia anak syarikat agar mampu menjanakan keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan.

“Selain itu, pembangunan dan penguatkuasaan Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 oleh KPT untuk diguna pakai oleh semua Universiti Awam dilihat adalah baik,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati menyatakan UHSB juga telah membentangkan Hala Tuju ‘10-Year Stratergic Roadmap’ kepada PAC dan berpandangan pelan hala tuju yang disediakan adalah terlalu optimistik.

Kata beliau lagi, UHSB perlu mengambil kira cabaran sebenar di lapangan supaya ianya lebih realistik. 

“Dalam usaha bagi memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173, KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di Peringkat UiTM dan KPT.

“PAC berpandangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa yang sama ianya tidak terikat dengan kerenah birokrasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

- Advertisement -