
KUALA LUMPUR: “Isu KK Mart ini perlu dijadikan sebagai satu pengajaran dalam memelihara sensitiviti agama di negara ini.”
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menghormati keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam (15 Julai 2024), berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh sesetengah cawangan KK Mart pada bulan Mac yang lalu.
“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM60,000 yang perlu dibayar dalam tempoh tiga hari terhadap KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn. Bhd., setelah Pengurus Besar KK Mart dan Pengarah Syarikat pembekal mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
“Pada masa yang sama, Mahkamah telah melepaskan dan membebaskan Pengasas Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai, isterinya, serta tiga lagi pengarah syarikat pembekal, selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan ke atas kelima-lima mereka,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebooknya, hari ini.
Menurut beliau, Pemuda PAS Selangor percaya bahawa prosedur kehakiman perlu dihormati tetapi itu tidak bermakna bahawa umat Islam perlu redha dengan kejadian yang berlaku.
Tambahnya, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab dengan menggubal dan mewujudkan suatu akta khusus bagi mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mana-mana pelaku yang menghina agama serta memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi.
“Sudah beberapa kali umat Islam terluka dengan isu yang seakan sengaja diwujudkan untuk memprovokasi sentimen umat Islam.
“Sebelum ini, isu penggunaan kalimah Allah mencetuskan polemik yang besar di kalangan masyarakat kita.
“Perlu diingat bahawa kemarahan umat Islam ada hadnya dan jangan cuba menjolok sarang tebuan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Sukri menyatakan seluruh lapisan masyarakat perlu mengambil iktibar daripada isu KK Mart ini supaya sentiasa menjaga sensitiviti mana-mana agama.
Kata beliau lagi, ini bertujuan supaya dapat menjaga keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara ini.
“Demi keharmonian dan perpaduan kaum, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk mengambil iktibar isu KK Mart ini sebagai pedoman agar lebih peka terhadap sensitiviti beragama dengan tidak mengambil mudah isu-isu yang boleh mencetuskan kemarahan suatu pihak.
“Jika ada pihak berdegil mahu melanggar sempadan tersebut selepas ini, hukuman berat dan tegas perlu dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024




















