
KUALA LUMPUR: Data peribadi rakyat bukan sesuatu perkara yang boleh dianggap kecil oleh mana-mana pihak pun.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, petang ini beliau bangun mengambil ruang bagi membahaskan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi.
“Statistik CTOS SecureID pernah mendedahkan bahawa sebanyak 335,000 maklumat peribadi yang boleh dikenali (PII) telah dikesan di laman web gelap, ini tak terkira lagi dengan dakwaan kebocoran data peribadi yang didakwa dijadikan sumber ekonomi gelap (Black Economy),” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebooknya.
Beliau menyatakan telah bangun pada petang ini bagi memohon pihak kerajaan untuk meneliti beberapa perkara dalam RUU tersebut.
Tambah beliau, antaranya ialah penggunaan istilah yang ingin dipinda iaitu penggantian perkataan “pengguna data” kepada “pengawal data” di bawah Fasal 2 RUU tersebut.
“Ini merupakan sesuatu yang membingungkan kerana pihak kerajaan tidak menetapkan tafsiran terhadap penggantian ini yang boleh membawa kepada kekeliruan.
“Kedua, berkaitan pindaan yang ingin dilakukan kepada Seksyen 129(1) yang ingin memberikan kuasa mutlak kepada ‘pengawal data’ bagi memindahkan data ke suatu tempat di luar Malaysia tanpa perlu lagi kebenaran pihak Menteri yang disyorkan Pesuruhjaya melalui pemberitahuan yang disiarkan di dalam Warta.

“Kalau sebelum ini, pemindahan data ke luar Malaysia perlu ditentukan oleh Menteri atas syor Pesuruhjaya melalui pemberitahuan yang disiar dalam warta.
“Pindaan ini sangat berbahaya terhadap keselamatan data dan bakal mengancam kedaulatan negara. Adakah ini merupakan proses penjajahan baharu?
“Ketiga, perkara yang dibimbangi ini pernah berlaku keatas seorang rakyat Malaysia iaitu kes Ranjan Paramalingam & Anor Melawan Persatuan Penduduk Taman Bangsar yang menunjukkan kepada keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan memutuskan tiada tindakan sivil yang boleh diambil di bawah Akta ini sekiranya berlaku penyalahgunaan data peribadi oleh institusi perbankan/kewangan atau mana-mana syarikat telekomunikasi,” jelasnya.
Sehubungan itu, Afnan juga menyatakan dalam kes ini, keputusan Mahkamah Rayuan telah menjadikan duluan yang mengikat atau ‘Precedented’ yang akan mengikat keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret.
Tambah beliau, perkara tersebut merupakan suatu penindasan kepada mangsa penyalahgunaan data oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru, pandangan saya terhadap Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi ini perlu dikaji dan diteliti semula secara menyeluruh kerana melibatkan data rakyat serta kedaulatan negara.
“Kita tidak mahu menjadi petualang yang menginginkan keuntungan dengan memperjudikan kedaulatan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024




















