
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dan Pemuda PAS menzahirkan ucapan takziah buat mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia pada malam tadi.
PN dalam kenyataannya berkata, dengan rasa dukacita, gabungan parti itu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Almarhum Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah telah memberikan sumbangan besar kepada institusi kehakiman negara sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara. Beliau telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan integriti, membawa banyak perubahan positif dalam sistem kehakiman negara,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, antara jasa dan sumbangan Allahyarham termasuklah memperkenalkan Reformasi Kehakiman.
“Tun Dzaiddin dikenali dengan usaha-usaha beliau dalam memperkenalkan reformasi kehakiman yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan dan ketelusan institusi kehakiman di Malaysia,” jelasnya
Selain itu, ujar kenyataan itu, jasa Allahyarham ialah mengukuhkan sistem perundangan, yang mana di bawah kepimpinan beliau, pelbagai langkah telah diambil untuk memperkukuhkan sistem perundangan negara, memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih berkesan.
“Jasa Allahyarham juga adalah dalam menjaga integriti kehakiman, yang menyaksikan beliau telah memainkan peranan penting dalam menjaga integriti dan kebebasan kehakiman, mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara Pemuda PAS dalam kenyataannya pula berkata, “Pagi ini, kita dikhabarkan berita dukacita atas pemergian seorang tokoh yang berjasa buat negara kita iaitu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang meninggal dunia malam tadi.
“Mohamed Dzaiddin yang merupakan Ketua Hakim Negara dari 20 Disember 2000 hingga 15 Mac 2003 telah banyak berjasa kepada badan kehakiman Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pemuda PAS mendoakan agar roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat serta keampunan dari Allah SWT.
“Semoga keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لهم وَارْحَمْهم وَعَافِهم وَاعْفُ عنهم وَأَكْرِمْ نُزُلَهم وَوَسِّعْ مُدْخَلَهم وَاغْسِلْا بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهم مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلهم دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِههم وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهم وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهم وَأَدْخِلْها الْجَنَّةَ وَأَعِذْهم مِنْ عَذَابِ النَّارِ
“Al-Fatihah.” – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!




















