
CALON Perikatan Nasional (PN) tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penduduk Sungai Bakap. Ketika berkempen, seorang wanita warga emas Cina yang ditemuinya berkata: “Laaa…you ni anak Peah dengan Ismail Sungai Duri ke? Itu you punya mak ayah.. semua i kenai, kawan lama i… Lama i tak jumpa mak you.”
Perbualan ini bukan dibuat-buat. Ia adalah testimoni terhadap Abidin Ismail, 56, atau Abang Abidin yang menggambarkan keakraban beliau dengan penduduk Sungai Bakap yang merentasi semua peringkat, umur dan kaum.
Apabila dilabelkan sebagai calon anak tempatan, beliau bukan sahaja dilahirkan, dibesarkan dan tinggal di Sungai Bakap, tetapi dirinya cukup dikenali oleh penduduk tempatan.
Abang Abidin terbukti aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Biodata dirinya menceritakan segala-galanya. Pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunjukkan minatnya memberi sumbangan kepada komuniti setempat.
Terlatih untuk mewakili rakyat
Apabila menjadi Pegawai Khas bekas ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff, beliau sebenarnya dilatih untuk mewakili rakyat dalam jangka masa panjang.
Pegawai Khas ibarat orang kanan ADUN kerana di sebalik tabir, beliau yang menguruskan segala-galanya, menerima aduan penduduk, menghubungi agensi kerajaan berkaitan, berada di lokasi bermasalah, malah membuat penyelidikan menyediakan maklumat apabila ADUN bersidang di DUN.
Segala pahit getir ADUN dirasai dan dikongsi bersama oleh Pegawai Khas yang tahu cara gerak kerjanya. Suatu kelebihan besar apabila Pegawai Khas bertanding dalam pilihan raya kerana sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan dengan sedikit bimbingan dan nasihat, mampu menjadi ADUN yang bekerja untuk rakyat.
Biasa dengan kerja kemasyarakatan dan agama
Abang Abidin terbukti aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Biodata dirinya menceritakan segala-galanya. Pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunjukkan minatnya memberi sumbangan kepada komuniti setempat. Menjadi pengerusi masjid pula menunjukkan penekanan hidupnya kepada Islam, suatu perkara yang penting bagi setiap individu Islam.
Isu masalah bekalan air
Soalan paling mudah yang tidak dapat dijawab ialah apakah wakil rakyat PH buat ketika menjadi ADUN Sungai Bakap? Bukan sepenggal, tetapi tiga penggal.
DAP memerintah Pulau Pinang sejak 2008 dan yang menjadi ADUN Sungai Bakap sejak 2008 ialah PKR. Masalah bekalan air berlaku sejak akhir 2018 dan menjadi lebih kritikal pada 2020. Setiap hari sejak sejak 6 tahun lalu penduduk tidak ada bekalan air bermula lewat petang sehingga lewat malam dan kadang-kadang hingga awal pagi
Penduduk telah lama mengadu dan membuat pertemuan dengan pihak yang bertanggungjawab sejak 2019 dan pada Mei 2022, penduduk Mukim 5 Sungai Bakap berhimpun secara aman di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang menuntut masalah air mendapat perhatian kerajaan negeri.
Rafizi dan Rayer ketinggalan kereta api
PH cuba mengalihkan perhatian apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menyalahkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Faktanya ialah Timbalan Presiden PAS memaklumkan bahawa ada cara bagi menangani isu ini dan Kerajaan Persekutuan menawarkan bantuan, malangnya kerajaan Pulau Pinang tidak mahu memberi kerjasama. Bertahun-tahun masalah rakyat ini ditutup dan hanya ketika Allahyarham Nor Zamri menjadi ADUN, barulah isu air Sungai Bakap diberi perhatian untuk diselesaikan.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer juga mahu tumpang sekaki mendakwa isu bekalan air Sungai Bakap tidak pernah dibahaskan di sidang DUN Pulau Pinang. Jelas Rayer tidak buat `kerja rumah’ sedangkan terdapat bukti video perbahasan isu air Sungai Bakap oleh Allahyarham Nor Zamri. Video tersebut boleh ditonton di sini.
PH jelas terdesak dalam isu bekalan air kerana menunjukkan kegagalan menangani masalah itu. Ketika Rafizi dan Rayer cuba memesongkan isu sebenar, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memohon maaf kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan kesulitan ekoran masalah air.
Kenaikan harga diesel
Sebelum pilihan raya, dijanjikan turun harga minyak. Selepas pilihan raya, rakyat disajikan dengan kenaikan harga minyak. Kenaikan harga diesel adalah pencetus gelombang baharu penularan ‘wabak’ inflasi pada era ekonomi Madani. Rakyat akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.
Kenaikan diesel bukan hanya membabitkan pemilik kenderaan enjin diesel, tetapi kepada setiap barangan dan perkhidmatan yang dibawanya. Walaupun sektor pertanian dan logistik diberikan perlindungan mengikut Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, penguatkuasaan tetap penting bagi mengawal harga dan keuntungan.
Secara kebetulan, harga diesel Semenanjung dinaikkan pada Jun 2024, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu. Besar kemungkinan, kenaikan harga petrol Semenanjung pula akan menyusul pada September 2024, selepas PRK Sungai Bakap diadakan pada Julai 2024.
Janji Rafizi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan menggunakan strategi sama, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95.
Bercakap dengan pemberita di acara Forum Ekonomi Dunia di Dalian, China, Rafizi berkata demikian ketika ditanya jika langkah itu akan dilaksanakan pada tahun ini, dan pengumuman awal akan dibuat.
“Kita tidak akan dedahkan rancangan kita, seperti mana kita kejutkan semua orang dengan diesel. Saya fikir ada satu lagi kejutan untuk orang ramai,” katanya seperti dipetik organisasi berita kewangan, Bloomberg. Itu kata Bloomberg. – HARAKAHDAILY 5/7/2024




















