
KUALA LUMPUR: “Kita mengecam sekeras-kerasnya konsert yang bakal diadakan kelak dan mendesak kerajaan menarik balik permit konsert ini…jikalau benar kerajaan tidak bohong kepada rakyat, buktikan!”
Itu penegasan yang diutarakan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan yang seterusnya mempersoalkan apakah pendirian sebenar kerajaan Malaysia terhadap pihak pro-Israel berhubung konsert Bruno Mars di Kuala Lumpur, selepas negara gempar dengan polemik cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitkan dengan syarikat konglemerat pro-Israel, BlackRock Inc (BlackRock).
Ia adalah susulan tiket konsert penyanyi pro-Zionis, Bruno Mars yang dijadualkan berlangsung pada 17 September 2024, di Stadium Bukit Jalil, di sini dilaporkan sudah habis terjual, sedangkan Malaysia sebelum ini merupakan negara Islam yang dalam menentang kezaliman Israel dalam isu Palestin, termasuk merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita tak tahu sebenarnya kerajaan nak bawa rakyat ke mana? Mana sifat kemanusiaan kita sebagai saudara sesama Islam?” kata Wan Hasrina ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, kerajaan Malaysia perlu menapis konsert dan tidak memberikan permit kepada mana-mana agensi atau figura yang jelas berpihak menyokong rejim Zionis Israel.
“Kerajaan perlu menyatakan ketegasan dan pendirian terhadap apa sahaja tindakan pihak atau individu pro-zionis yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda,” hujah beliau.
Terdahulu, penganjur konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 17 September 2024, di Stadium Bukit Jalil, di sini yang memuatkan kapasiti sehingga 85,000 pengunjung, dengan bangganya mengumumkan tiket konsert berkenaan secara rasminya sudah habis terjual.
Terdahulu, Bruno Mars didakwa sebagai pro-Israel, selepas penyanyi Amerika Syaikat itu dilaporkan menyatakan rasa cintanya terhadap negara haram itu ketika membuat persembahan konsertnya di Tel Aviv, tahun lalu.
Sebelum ini, tular sebuah berita yang dilaporkan The Times Of Israel dengan tajuknya ‘Pop superstar Bruno Mars declares his love for Tel Aviv in first-ever Israel show’ yang mengundang kemarahan ramai, termasuklah rakyat Malaysia.
Laporan berita menggambarkan Bruno Mars menyokong Israel dan seolah-olah ‘menutup mata’ dengan kezaliman genosid yang dilakukan Zionis Israelterhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, malah lebih menyemarakkan kontroversi adalah apabila Mars mengaku cintakan Tel Aviv ketika menyanyikan salah satu lagu popularnya dalam konsert berkenaan.
Sehubungan itu di Malaysia, sejak minggu lalu, terdapat gerakan di media sosial mengajak untuk memboikot konsert artis itu di negara ini dengan tanda pagar ‘Say No to Bruno’.
Selain penyanyi Malaysia, Aizat Amdan juga dilaporkan turut memboikot konsert tersebut bagi menyatakan solidaritinya terhadap nasib rakyat Palestin; Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, sebuah gerakan pro-Palestin, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, pada minggu lepas telah melancarkan protes bagi memboikot konsert konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur.
BDS Malaysia juga dengan mengeluarkan poster dalam Instagramnya dengan slogan, Say No to Bruno Mars…Zionist and supporter of GENOCIDE are not welcome to Malaysia. (Katakan tidak kepada Bruno Mars…Zionis dan penyokong GENOSID tidak diterima di Malaysia). – HARAKAHDAILY 5/7/2024




















