Kenapa MP Jelutong fitnah Allahyarham Abang Zam?

Mohamad Ikhwan Afiq
- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen (MP) Jelutong, RSN Rayer digesa memohon maaf kepada keluarga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff (atau lebih dikenali sebagai Abang Zam) berikutan fitnahnya berkenaan masalah air di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Mohamad Ikhwan Afiq berkata, kelmarin ‘meletup’ satu kenyataan daripada MP Jelutong itu yang menyebut  bahawa Abang Zam tidak pernah membahaskan mengenai masalah air dalam sidang DUN.

“Nasib baiklah sekarang ini zaman digital, rakaman dan hansard (penyata rasmi sidang DUN Pulau Pinang) secara digital sangat mudah diperoleh. Fitnah jahat MP Jelutong ini mencetuskan tanda tanya.

- Advertisement -

“(Pertamanya) Adakah MP DAP memfitnah bagi menyembunyikan kegagalan ADUN sekutunya sebelum ini? 

“Malah mantan YB berkenaan telah meminta maaf dan mengakui bahawa beliau tidak kompeten untuk membawa isu air disebabkan jawatan Timbalan Speaker DUN sebelum ini. 

“Perbuatan MP DAP ini sungguh ibarat ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’.

“(Keduanya) Adakah MP DAP ini memfitnah untuk menutup isu kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri tidak cakna dan ambil peduli kawasan majoriti Melayu,” tegasnya dalam satu kenyataan.

MP Jelutong ini menurut Mohamad Ikhwan,  dilihat pelik apabila kononnya lantang bersuara isu rakyat tetapi ‘menikus sepi’ apabila isu air ini dibangkitkan sepanjang Almarhum Abang Zam berjuang bersungguh-sungguh demi warga Sungai Bakap.

“MP DAP ini punya dahsyat sampai tergamak memfitnah orang yang sudah tiada semata-mata untuk melepaskan partinya dari kegagalan mentadbir. 

“MP Jelutong ni ingat penduduk Sungai Bakap ini kurang cerdik gamaknya yang senang-senang akan termakan dengan fitnah jahat. 

“Saya mendesak untuk MP Jelutong wajib untuk minta maaf kepada keluarga Allahyarham Abang Zam,” katanya. 

Terdahulu media tempatan melaporkan, MP Jelutong mendakwa Abang Zam tidak pernah berbahas isu masalah bekalan air yang berlaku di kawasannya dalam DUN sebelum ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -