Tubuhkan pusat sehenti mangsa pemerdagangan manusia

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan menubuhkan sebuah pusat sehenti bagi menempatkan mangsa aktiviti pemerdagangan manusia yang kini mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Dato’ Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, kemudahan itu memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan, kawalan trauma sekaligus menyelesaikan isu tersebut.

- Advertisement -

Beliau menyatakan, Malaysia perlu memperbaiki kedudukan yang lebih baik berbanding tahap dua dalam Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) terkini.

“Apakah akan ada pusat sehenti dan trauma khususnya bagi mnyokong dan melindungi mangsa begitu juga kebimbangan masyarakat aktiviti penipuan dan pemerdagangan orang dalam talian.

“Negara telah digemparkan dan bersedih dengan peristiwa suatu ketika dahulu dengan pemergian Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia dalam tahanan di Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara AS mengenai aktiviti pemerdagangan orang 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapannya menjelaskan, kerajaan amat mementingkan aspek perlindungan bagi menjaga mangsa aktiviti tersebut.

Sehingga kini, katanya, rumah perlindungan merupakan pra syarat yang sangat penting bagi meningkatkan lagi imej negara dalam laporan yang dikeluarkan secara tahunan itu.

“Kita ada satu di Sarawak, Johor, Kuala Lumpur Damansara, Pulau Pinang, jadi bila kita selamatkan, itu weightage yang bagus, bila kita bagi perlindungan itu juga satu weightage yang bagus.

“Laporan ini kita kena bagi kepada Jabatan Negara AS sampai Mac 2025 untuk rating berikutnya diberikan, kita optimistik dan kita bergerak dilaluan yang betul, insya-Allah tercapai,” katanya.  HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -