‘Penipuan bersiri’ Kerajaan PH-BN sejak dua tahun…

Zurk Ahmad
- Advertisement -

SHAH ALAM: “Selepas hampir dua tahun Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dibentuk, penipuan demi penipuan telah mereka zahirkan.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, kerajaan Madani bukan sahaja gagal menunaikan janji-janji pilihan raya, mereka juga gagal mentadbir, gagal menjaga kebajikan rakyat dan gagal mengurus ekonomi negara.

- Advertisement -

“Lebih teruk, kerajaan zalim ini masih berterusan menipu rakyat dengan kemahiran sembang mereka,” katanya. 

Menerusi kenyataan di laman Facebook PAS Selangor, beliau menyatakan terdapat enam bukti bagi menunjukkan kegagalan PH-BN menunaikan janji manifesto mereka. 

“Pertamanya adalah kegagalan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang dianggap sebagai satu akta yang zalim sewaktu mereka menjadi pembangkang,” hujahnya.

Beliau turut memetik kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang berkata, “jangan marah saya (jika) ada panggilan nanti atau ada ‘radio car’ (kenderaan polis) singgah di rumah anda.”

“Kedua, kegagalan dalam memberikan peruntukan sama rata untuk ahli pembangkang. Ketiga, kegagalan untuk mengembalikan program sarapan percuma di sekolah dan keempat, pemisahan jawatan dan fungsi peguam negara dan pendakwa raya yang juga gagal dilaksanakan, serta asuhan nasional percuma di sebalik yuran tahunan tadika semakin mahal dan membebankan,” jelas beliau.

Tambah Zurk, kegagalan keenam Kerajaan Perpaduan PH-BN ialah dalam menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi menapis jawatan utama negara.

“Malah, pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara tahun ini dibuat tanpa melalui saringan jawatankuasa khas parlimen.

“Cukuplah rakyat merana. Orang (penduduk) Sungai Bakap tidak akan tertipu lagi dan akan hukum mereka pada 6 Julai dengan memberi undi kepada Perikatan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -