Tasik Bukit Merah kering akibat KIGIP, jejaskan pesawah

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengambil langkah untuk mengatasi kesan pengairan di kawasan persekitaran bagi Projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, kesan tersebut berlaku susulan projek tersebut didapati memerlukan penggunaan air yang tinggi. 

- Advertisement -

“KIGIP ini apabila dilaksanakan, penggunaan air tertentulah banyak. Untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat Tambun, sekarang Tasik Bukit Merah hari ini kering. 

“Ia mengalami masalah yang begitu besar kepada pesawah, menjejaskan pesawah di sana. Walaupun peruntukan yang disebut tadi RM4 bilion tadi ialah untuk jangka panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengajukan soalan tambahan dalam ‘Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri’ di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penilaian kerajaan terhadap projek tersebut memandangkan prestasi ‘pelaburan luar langsung’ (FDI) yang rendah yang menjadi satu cabaran kepada pembangunan KIGIP tersebut.

Menurut Idris, berdasarkan laporan terbaru daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan bahawa kemasukan FDI pada tahun 2023 sebanyak RM40.4 merosot berbanding RM75.4 bilion pada tahun 2022.

“Soalan saya, dengan prospek pelaburan yang disasarkan dalam KIGIP ini sejauh manakah penilaian pihak kerajaan terhadap prestasi pelaburan FDI yang rendah sebagai satu cabaran yang boleh merencatkan usaha negara untuk mencapai sasaran tersebut dan apakah langkah yang dirancang untuk mengatasinya?”  soalnya.

Sementara itu dalam jawapannya, Anwar berkata, untuk mengatasi masalah pengairan di Bukit Merah kerajaan merancang untuk membina terowong dari Sungai Perak masuk terus ke Bukit Merah untuk menjamin keperluan bekalan air di kawasan itu.

“Sebenarnya untuk Kerian itu sebenarnya penyalurannya dari Bukit Merah ke Kerian dan Pulau Pinang. Dari segi seperti mana yang saya sebut, unjuran keperluan daripada kajian yang disebut tadi menunjukkan keupayaan dari Sungai Perak itu mencecah sehingga 1500 juta liter sehari. 

“Itu maknanya memenuhi keperluan Perak seluruhnya, utara Perak dan seluruh Pulau Pinang. Inilah sebab mengapa kerajaan setuju dengan pembiayaan yang besar tetapi dikendali melalui kerjasama PNB, Sime Darby, Guthtrie dan Kerajaan Negeri Perak,” jelasnya.

Tambah Anwar, untuk keperluan segera beliau akan mengemukakan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sekiranya ada apa-apa yang keperluan segera yang perlu untuk mengatasi masalah sementara di kawasan Kerian.

Berkaitan penurunan FDI, beliau berkata walau pun memang wujud penurunan pada 2023 tetapi pelaburan keseluruhannya itu tertinggi kerana ia melibatkan peningkatan mendadak dalam pelaburan domestik.

“Jadi sebab itu, kita tidak sangat bimbang terutama melihat kepada angka suku tahun pertama 2024 di mana pelaburan asing telah meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -