PATI bermaharajalela di ‘Little Dhaka’ KL: Apa tindakan kerajaan?

Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan langkah dan tindakan secara menyeluruh dan berkesan bagi mengatasi isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bukan setakat di Sabah bahkan seluruh negeri di Malaysia.

Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, PATI ini telah memasuki melalui pintu negara tanpa melalui prosedur undang-undang yang terdapat di jabatan tertentu khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

- Advertisement -

“Apakah strategi yang dirangka bagi membendung laluan-laluan tikus yang wujud di perairan kita dan wujud juga sindiket penyeludupan PATI. Jadi sejauh manakah penguatkuasaan untuk membendung sindiket tersebut.

“Selain itu, mereka berniaga tanpa mempunyai lesen yang dibenarkan oleh undang-undang dan wujud bahawa peniaga dari Bangladesh bermaharajalela di satu tempat sehingga digelar sebagai ‘Little Dhaka‘ di Kuala Lumpur.

“Jadi, setujukah Yang Berhormat Menteri bahawa parti ini kebal dari segi undang-undang,” hujahnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapannya berkata, kementeriannya akan mengenal pasti kawasan yang paling ramai diduduki oleh PATI dan memprofilkan lokasi ‘hotspot’ tersebut.

Menurutnya, kategori PATI yang ditanya oleh Yang Berhormat Jerlun berjumlah 61,152 orang melalui depoh Imigresen di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Jun lalu.

“Oleh demikian kementerian bersama kedutaan mengasingkan dan mengeluarkan dokumen perjalanan (bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh) supaya boleh membawa PATI untuk keluar, sekali gus senarai hitamkan mereka agar tidak boleh masuk lagi ke negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -