Guna duit rakyat untuk subsidi syarikat swasta?

Isham Jalil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Adakah kerajaan sebenarnya ingin menggunakan duit rakyat dalam membangunkan lapangan terbang Pulau Pinang bagi kepentingan syarikat swasta semata-mata?

Mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, Lapangan Terbang Pulau Pinang merupakan satu daripada lapangan terbang yang dimiliki dan diuruskan oleh Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), yang mana kerajaan bercadang untuk menjual 25 hingga 30 peratus sahamnya kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock Inc (BlackRock).

- Advertisement -

“Saya ada dengar Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa kerajaan akan belanja untuk menaik taraf lapangan terbang Pulau Pinang yang merupakan satu daripada pemilikan MAHB yang mana sebahagian saham syarikat tersebut bakal dijual kepada GIP milik syarikat pro-Zionis iaitu BlackRock,” katanya dalam satu kenyataan terbaharu.

Menurut beliau, kerajaan ingin membelanja duit rakyat sebanyak RM1 billion untuk lapangan terbang tersebut yang bakal ditadbir dan diurus oleh syarikat BlackRock.

Tambahnya, perkara sebegini berlaku selepas kerajaan menaikkan harga minyak diesel bagi mengutip sebanyak RM4 billion daripada rakyat negara ini.

“Apabila lapangan terbang ini dinaik taraf dengan menggunakan dana awam, sudah tentu yang untung ialah syarikat tersebut.

“Ini secara tidak langsung kerajaan menggunakan dana awam untuk mensubsidi mereka pula.

“Saya ingin tanya kepada pihak kerajaan, buat apa nak menggunakan duit rakyat untuk mensubsidi keuntungan syarikat sebegitu?

“Mereka sepatutnya menggunakan dana sendiri untuk menaik taraf aset tersebut dan bukannya menggunakan duit rakyat yang hanya akan membebankan kehidupan rakyat itu sendiri,” jelasnya.

“Maka, saya tidak setuju kerajaan guna duit rakyat dan duit cukai saya untuk mensubsidi Blackrock. 

Jika kerajaan ingin mensubsidi Blackrock maka sebaik-baiknya boleh bayar dengan menggunakan wang Menteri-Menteri itu sendiri dan bukannya duit rakyat,” katanya lagi. 

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyatakan rakyat sudah cukup terbeban untuk membayar kenaikan harga minyak diesel yang mana tindakan kerajaan sebegitu hanya memberikan subsidi kepada BlackRock semata-mata yang jelas menyokong kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -