
PASUKAN Pilihan MB Sanusi tewas hanya dengan jaringan 2-3 dalam perlawanan persahabatan dengan Pasukan Pilihan Akmal Nasir.
Biarpun bagi mereka ‘kemenangan’ itu amat besar maknanya melihat pada muslihat Akmal ‘sendiri cabar, sendiri jemput, sendiri batal’, ia sekadar perlawanan bola persahabatan, tidak lebih daripada itu.
Kemenangan Pasukan PHBN yang diwakili beberapa bekas pemain kebangsaan, bekas pemain Pulau Pinang malah sebilangan pemain difahamkan daripada Skuad Bawah 23 tahun Pulau Pinang, jauh untuk dianggap petanda awal PHBN akan menewaskan PN pada hari mengundi 6 Julai.
Sesungguhnya, kemenangan itu amat penting bagi Timbalan Menteri bernama Akmal Nasrullah Nasir itu bagi mengembalikan semula air mukanya setelah cubaan dia untuk membatalkan perlawanan dengan Pasukan MB Sanusi tidak kesampaian. Jika dia tidak menang perlawanan itu, sudah pasti dia akan menyesal teramat sangat kerana terlanjur mencabar MB Kedah.
Dan dia tentunya paling gembira kerana berjaya menjaringkan satu gol walaupun sepanjang permainan, dia banyak ‘curi ayam’. Kalaulah dikira larian atau pergerakannya sepanjang perlawanan, saya yakin dia hanya berlegar di satu tempat sahaja. Tak apalah, dah dia nak sangat kita biarkanlah dia menikmati kemenangan yang tidak ada makna itu!
Namun di luar lingkungan Padang Taman Pekatra di Simpang Ampat itu, tidak ramai yang tahu yang sebenarnya menang ialah PN.
Saya sempat kelilingi padang termasuk di kawasan penyokong PH, di mana saya dapati banyak terdapat lompong yang menandakan kehadiran penyokong PH tidaklah sepadat di bahagian penyokong PN. Biru lebih mendominasi berbanding merah.
Ini realiti!
Pulau Pinang negeri PH, tapi jika dinilai dengan kehadiran penyokong di Taman Pekatra semalam, saya yakin sokongan terhadap PN tidak berkurang malah semakin kuat.
Tidak benar dakwaan mereka konon Gelombang Hijau sudah berakhir. Ia mungkin tidak begitu ketara di luar musim pilihan raya. Namun dalam suasana PRK sekarang, semangat sebahagian besar anggota masyarakat akan bangkit semula, apatah lagi dalam keadaan mereka berasa ditipu hidup-hidup dengan isu kenaikan harga diesel.
Jika PHBN menang di Sungai Bakap, apa mungkin ia memberi signal kepada kerajaan bahawa mereka masih dapat sokongan? Dengan itu, mungkin tidak seganlah mereka untuk subsidi RON95 pula dimansuhkan!
Balik ke Padang Taman Pekatra, walaupun usaha Akmal Nasir cuba ‘menggantikan’ perlawanan menentang pasukan MB Sanusi dengan pasukan calon mereka bertujuan untuk memenuhkan sekitar padang dengan penyokong PH ternyata gagal.
Dengan notis pada saat akhir bahawa MB Muhammad Sanusi Md Nor tetap akan turun padang lawan team Akmal, penyokong PN turun berbondong-bondong meskipun sebelum itu ramai yang menyangka perlawanan itu dibatalkan. Propaganda Akmal tidak menjadi.
Perhatian, tumpuan dan keterujaan orang ramai kepada Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor tetap hangat. Seawal kehadirannya di tepi padang, mereka berpusu pusu mahu bergambar dengan MB Kedah.
Keadaan tidak berkurang hingga waktu MB Sanusi melakukan senaman ringan, berjalan masuk padang hingga selepas perlawanan tamat orang ramai masih berpusu-pusu minta bergambar.
Begitu juga dengan dua legenda Kedah YB Radhi Mat Din dan YB Baddrol Bakhtiar.
Suasana di kawasan yang menempatkan penyokong PN ternyata lebih sesak dan meriah berbanding di sebelah sana. Itu petanda yang baik untuk PN menjelang 6 Julai.
Insya Allah Abang Abidin Ismail akan menang! – HARAKAHDAILY 1/7/2024
Catatan tepi padang oleh:
Muhamad Mat Yakim
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















