Pilihan Raya Presiden Iran berlangsung hari ini

Empat calon Presiden baharu Iran (dari kiri), Mohammad Bagher Qalibaf, Saeed Jalili, Masoud Pezeshkian, dan Mostafa Pourmohammadi.
- Advertisement -

TEHRAN: Pilihan raya bagi melantik Presiden Iran yang baharu berlangsung hari ini, dengan rakyat Iran akan keluar mengundi bagi memilih bakal Presiden mereka daripada empat calon yang bertanding, termasuk seorang reformis tunggal yang berharap dapat memecahkan dominasi konservatif di republik itu.

Calon-calon yang disahkan layak bertanding oleh Majlis Penjaga Iran, yang bertanggungjawab mengawal selia pilihan raya negara itu adalah Mohammad Bagher Qalibaf, 62, yang merupakan Speaker parlimen Iran, dan bekas Datuk Bandar Tehran. Beliau mempunyai hubungan ketenteraan yang luas dan dilihat awal sebagai calon pilihan utama dalam pilihan raya ini.  

- Advertisement -

Calon kedua adalah Saeed Jalili, 59, seorang pendukung tegar aliran konservatif dan bekas perunding nuklear dengan pandangan anti-Barat yang kuat. Beliau adalah veteran Perang Iran-Iraq 1980-an, di mana beliau telah kehilangan kaki sewaktu perang tersebut. Sebelum itu, beliau adalah ahli Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.

Ketiga, Masoud Pezeshkian, 69, merupakan calon reformis tunggal yang juga merupakan calon tertua. Beliau telah menyeru agar jangkauan yang lebih luas kepada dunia luar sebagai cara untuk meningkatkan ekonomi Iran. Masoud turut mendapat sokongan daripada bekas Presiden Iran, Hassan Rouhani

Calon terakhir adalah Mostafa Pourmohammadi, 64, satu-satunya ulama syiah yang bertanding dalam pilihan raya ini. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri dan Perisikan Iran serta beberapa jawatan lain dalam kerajaan.

Pilihan Raya Presiden Iran sepatutnya dijadualkan pada tahun depan, namun terpaksa diadakan lebih awal apabila penyandangnya, Ebrahim Raisi maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei lepas ketika dalam perjalanan pulang dari sempadan Iran-Azerbaijan selepas merasmikan kompleks hidroelektrik di empangan Giz Galasi. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -