Isu MAHB-GIP-Blackrock cetus reaksi negatif meluas di medsos

Di TikTok, 75 peratus reaksi negatif terhadap kerajaan PH_BN susuulan isu MAHB-GIP-BlackRock dengan 27,000 komen dikumpulkan dari platform tersebut,
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock melalui Global Infrastructure Partners (GIP) telah mencetuskan reaksi negatif yang meluas dalam kalangan netizen di media sosial.

Majoriti daripada mereka mempertikaikan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan menyuarakan kebimbangan tentang hubungan dengan syarikat berkait Israel serta implikasi terhadap keselamatan negara, di mana tuduhan ‘spin’ dan menyalahkan orang lain kerap menjadi perbualan netizen di media sosial utama negara. 

- Advertisement -

Menerusi hantaran di laman Facebook sebuah pusat penyelidikan pendidikan, QGenAnalysts, rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan penerangan kerajaan tentang penjualan saham MAHB kepada sebuah syarikat yang merupakan penyokong tegar kepada Zionis Israel. 

Menurutnya, isu ini telah memuncak pada 25 Jun lalu, menyaksikan hampir 18,000 topik trending. 

Di laman Facebook Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri itu mempersoalkan kenapa MAHB perlu dijual sedangkan ia mencatat keuntungan RM543 juta tahun lalu.

“Isu keselamatan negara menjadi topik perbincangan apabila GIP, sebagai proksi BlackRock boleh mempengaruhi keputusan keselamatan negara.

“Sebanyak 85 peratus interaksi di Facebook adalah negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) , terutamanya dari laman berita utama.

“Di TikTok, 75 peratus reaksi juga negatif terhadap kerajaan PH-BN dengan 27,000 komen dikumpulkan dari platform tersebut,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Tambah QGenAnalysts, netizen menekankan isu kerajaan yang tidak berani memutuskan hubungan dengan syarikat berkait Israel, di mana perhatian antarabangsa juga tertumpu ke Malaysia kerana Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) telah menyenaraikan BlackRock sebagai syarikat yang perlu menghentikan bantuan ke Israel.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -