Netizen sambut baik ZUS Coffee bela maruah pekerja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ZUS Coffee menerima reaksi positif daripada netizen selepas pengurusannya mempertahan ‘Zurista’ syarikat itu berhubung insiden tular melibatkan pekerja wanita mereka yang dimalukan seorang pelanggan.

- Advertisement -

Pihak syarikat pengendali perkhidmatan minuman dan makanan (F&B) itu memaklumkan bahawa mereka telah menjalankan siasatan dalaman serta memberikan ruang kepada Zurista berkenaan untuk berehat dan memulihkan diri daripada tekanan yang dihadapi.

ZUS Coffee juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perilaku yang tidak menghormati komuniti syarikat, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan dan maruah para pekerja mereka.

“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik,” ujar kenyataan media rasmi Zus Coffee bertarikh 10 November itu.

Kenyataan sama tersebut turut menggesa semua pihak menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelak daripada berkongsi atau menyiarkan semula video menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.

ZUS Coffee juga menggesa semua pihak mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan adil serta memberi ruang dan masa pihaknya meneliti isu itu.

Langkah tersebut dianggap wajar dan berprinsip oleh netizen yang menyifatkan tindakan ZUS bukan sahaja mempertahankan imej syarikat, malah menjaga kehormatan pekerja barisan hadapan yang sering berdepan dengan pelbagai bentuk provokasi dan tekanan emosi.

Netizen turut menganggap tindakan Zurista wanita tersebut sebagai satu bentuk tindakan mempertahankan maruah dan harga diri sebagai manusia yang tidak wajar diperlakukan sewenang-wenangnya.

Rata-rata komen di media sosial menzahirkan rasa hormat terhadap keberanian Zurista dan menyokong ketegasan ZUS Coffee dalam menangani isu tersebut dengan cara yang adil dan berperikemanusiaan.

Dalam video tular sebelum ini menyaksikan interaksi Zurista wanita melawan secara berhemah terhadap pelanggan dipercayai dari tanah besar China yang bersikap biadab dengan menumpahkan air kepada pekerja tersebut.

Langkah berhati-hati ZUS Coffee dilihat netizen ini menunjukkan kematangan dalam pengurusan konflik, iaitu satu contoh terbaik kepada industri F&B lain bahawa menjaga maruah pekerja bukan kelemahan, tetapi lambang integriti dan nilai kemanusiaan.

Kisah ini sekali lagi membuka ruang perbincangan tentang realiti pekerja bahawa di sebalik senyuman dan layanan mesra, mereka juga manusia yang berhak dilindungi daripada penghinaan dan kezaliman pelanggan tidak beradab. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -