
CARA gaya langkahnya tetap tidak berubah, dia bangun perlahan dari kerusi seraya melambaikan tangannya ke arah khalayak dengan senyuman paling manis. Dewan mengema geger dengan sorakan para penyokong PERIKATAN NASIONAL. Segalanya mengingatkan aku lebih tiga dekad lalu di kampus Universiti Malaya, Lembah Pantai apabila sosok ini mewakili parti NADI diperkenalkan kepada khalayak dalam pilihan raya kampus.
Guratan wajah bersih dan berkarisma anak muda kail panjang sejengkal itu menyakinkan kami semua, ‘The young angry man’. Tokoh ini berdarah campuran Murut, Dusun dan Pakistan. Ali, pelajar FSSK yang bertanding kerusi Umum kampus mewakili kumpulan Islam, NADI. NADI adalah proksi PMIUM yang merupakan gerakan pelajar yang menghimpunkan generasi kebangkitan semula Islam yang pernah dilabel oleh kartunis pojok Awang Selamat sebagai ‘Generasi Pondok di Kampus’. Generasi tajnid ini hari ini sebahagiannya menjadi figura besar dalam pelbagai bidang; sebagai anggota legislatif, akademia, pendakwah, pentadbir dan sebagainya.
Universiti Malaya ibarat University Tehran, Universiti Algiers dan University Trisakti di Jakarta yang meledakkan tunjuk perasaan mahasiswa. Kampus yang dalam sejarahnya digeledah oleh aparat keamanan pada tahun 1974 sehingga lebih seribu orang pelajar ditahan polis. Kampus ini juga bergolak di zaman kebangkitan semula Islam dengan demonstrasi konsert Sheila Majid, Ops kriket dan lain-lain.
Dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya pada tahun 1993, NADI menguasai suara pelajar-pelajar Universiti Malaya. Kampus yang sering dirujuk sebagai kompas politik gerakan pelajar negara ini termasuk melahirkan tokoh-tokoh politik nasional. Rahimnya melahirkan Tun Dr Mahathir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Mustapha Ali, Dato’ Takiyuddin Hassan, Hishamudin Rais serta ratusan politisi lain daripada pelbagai kabilah politik.
Datuk Dr Aliakbar bergraduasi daripada UM pada tahun 1995. Beliau telah menyambung pendidikan pasca siswazah di UKM, Bangi dan berkhidmat sebagai ahli akademik di Universiti Malaysia Sabah. Pendakian panjang dalam bidang akademik berhujung dengan beliau berdoktorat pada tahun 2009.
Tim kami berpencar selepas bergraduat daripada UM pada tahun 1995. Sebahagian tim kami yang lain menyambung pengajian di kampus Universiti Malaya, Jordan, United Kingdom, juga berkhidmat di pelbagai sektor. Aku paling rapat dengan Dr Nordin Sakke sejak tahun pertama pengajian. Beliau anak Tawau yang juga dalam bidang pengajian yang sama dengan Dr Ali. Kami meneruskan penglibatan dalam PAS di pelbagai posisi selepas alam kampus.
Di kampus Bangi walaupun berulang ke UMS, Kota Kinabalu telah membuka peluang kepada anak muda ini berjinak dengan ilmu perubatan Islam yang kemudiannya memberikan peluang untuk beliau berkhidmat kepada masyarakat Sabah. Lelaki kacak ini adalah anak didik Almarhum Dato’ Dr Haron Din, sebab itu juga gaya tenang, menjaga patah-patah perkataan bila bercakap mengingatkan kita kepada Almarhum. Beliau secara rasmi diijazahkan sebagai perawat Islam di Darus Shifa’ oleh Almarhum.
Sepanjang menjadi ADUN Lantikan di Sabah, beliau juga mempunyai reputasi yang baik. Hadir merawat ke rumah pesakit, terus berbakti di lapangan tanpa mengira penat serta imbuhan bayaran.
Sosok pemimpin begini belum pernah ada di bumi Sabah. Beliau adalah kejora di langit malam. Di saat pemimpin-pemimpin Sabah lain menumpuk kekayaan serta dikaitkan dengan pelbagai masalah peribadi, beliau pemimpin yang memberikan ilmu kepada masyarakat. Kadang berkuliah dengan mensyarahkan kitab ‘Munyatul Musolli’ magnum opus Sheikh Daud Fathoni.
Ratusan masjid telah beliau sambangi di seluruh Negeri di Bawah Bayu sepanjang kegiatan politik dakwah beliau. Berbelas tahun tokoh ini telah dijemput berkuliah atau berceramah terutama pada hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk wal Mikraj, Nuzul Al Quran, Hijratul Rasul SAW dan sebagainya.
Dr Ali akrab dengan gerakan mahasiswa serta pernah menjadi penaung kepada gerakan mahasiswa Sabah seperti MARSIS, juga sebagai penaung Pusat Islam di UMS. Khidmatnya diteruskan lagi selepas tidak berkhidmat di UMS dengan masyarakat Sepanggar melantiknya sebagai penaung beberapa buah masjid. Sosok ini tidak muncul dalam masyarakat apabila tiba musim pilihan raya tetapi sentiasa dalam keluh kesah dan nadi rakyat terbanyak Sabah.
Minggu lalu telah tular kain-kain pemidang di Karambunai memprotes Dr Ali sebagai khatib di pelbagai masjid. Ironisnya, sepatutnya sang pembenci merasa bersyukur kerana jarang ada pada ahli-ahli politik Sabah kebolehan ini. Beliau tidak meminta untuk menjadi khatib di mana-mana masjid atau surau Jumaat tetapi ahli-ahli jawatankuasa masjid atau surau sendiri yang sentiasa menjemput untuk beliau menutur kata-kata nasihat dengan ilmu yang beliau miliki. Kadang-kadang cuplikan khutbahnya tersebar di media sosial, dengan erti kata bukan masyarakat negeri Sabah sahaja yang menumpang ilmu beliau tetapi ummah!
Dr Aliakbar bergulat dengan kerja bantuan kemanusiaan, membantu insan kurang mampu, berdakwah melebihi tiga dekad. Teringat di zaman kampus, pada tahun 1994 berlangsung program OPKIM dakwah kepada orang Asli di Kuala Kerling, Selangor. Beliau di antara mahasiswa yang mempunyai lesen memandu maka beliau ditugaskan membawa van yang disewa oleh PMIUM daripada pegawai Bomba Jalan Pantai Baharu. Kerja itulah yang mengheret jasad beliau dalam misi bantuan bersama NGO Sabah Relief, Muslim Care Malaysia serta jaringan sivil yang lain untuk terus membantu kelompok asnaf di pelbagai tempat di bumi Sabah tanpa mengira latar ideologi, ras dan agama.
Ayuh pengundi Karambunai, inilah sosok pilihan kalian, jangan persiakan undi kita kerana Sabah memerlukan perubahan! Negeri Sabah kaya, namun jurang kaya dan miskin sangat luas, kesenjangan sosio ekonomi bandar dan luar bandar juga menjolok mata. Datuk Dr Aliakbar Gulasan mempunyai pakej dan kompetensi kepimpinan yang diidamkan. Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Sabah ini telah terbukti di lapangan semenjak zaman mudanya lagi. Figura nasional ini bukan sahaja sebagai intelektual Muslim tetapi juga sebagai pentadbir organisasi, pendakwah, petugas bantuan kemanusiaan, perawat Islam, politisi dengan rekod bersih serta pencapaian yang piawai.
Anak-anak muda menyokongnya, manakala kelompok yang tua menyayanginya. Politik matang dan sejahtera yang beliau praktiskan adalah kebijakan politik masyarakat Sabah bagi menjadikan Negeri di Bawah Bayu ini harmoni serta dalam rahmat Tuhan.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/11/2025











