
KUALA TERENGGANU: Dr Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh), mencadangkan supaya Kerajaan Negeri melancarkan kempen besar-besaran membasmi penyalahgunaan dadah pada tahun 2026 dengan penglibatan menyeluruh pelbagai agensi dan masyarakat.
Beliau berkata, usaha bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM, Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN, serta pertubuhan bukan kerajaan perlu digerakkan secara kolektif bagi membendung penularan najis dadah di negeri itu.
“Isu dadah bukan boleh diselesaikan dalam sehari. Pelbagai pihak wajib dilibatkan untuk kempen anti dadah skala besar pada tahun 2026,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurut beliau, meskipun Terengganu diiktiraf sebagai negeri paling bahagia dan terkenal dengan kekuatan amalan beragama, gejala penyalahgunaan dadah masih menjadi masalah yang diwarisi sejak puluhan tahun.
“Daripada era opium pada zaman kolonial, hinggalah penularan dadah sintetik masa kini, Terengganu tidak terkecuali daripada gelombang ancaman ini. Kini, vape pula muncul sebagai medium baharu penagihan, terutama dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Riduan berkata, statistik AADK 2024 merekodkan 12,004 penagih dadah di Terengganu, dengan Kuala Nerus dan Besut antara daerah tertinggi.
Beliau turut memuji langkah berani kerajaan negeri menghentikan penjualan vape walaupun menerima tentangan daripada pengusaha dan syarikat terbabit.
“Kerajaan Negeri Terengganu membayar harga yang mahal dengan berani menghentikan penjualan vape. Ianya bukanlah secara drastik mengambil tindakan mengharamkan vape, beberapa langkah awal telah diambil semenjak tahun 2018 lagi.
“Langkah ini bertujuan bagi menjaga kebajikan pengusaha vape, notis awal telah diwar warkan agar mereka berganjak kepada bentuk perniagaan lain.
“Impak vape ini mencapah kepada bahaya hiliran yang lain seperti penyakit sawan, berlakunya darah beku, keguguran janin, kegagalan pernafasan, gangguan kepada perut serta usus, memangkin penyakit kanser, penyebab ketagihan serta kebergantungan fisiologi.
“Dengan bahasa paling mudah, mudharat vape jauh mendasar berbanding kebaikan daripada hembusan vape walaupun wangian vape menebar pesona kepada anak anak muda,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan memerangi dadah bergantung kepada kemapanan integriti, kesepaduan masyarakat dan kesungguhan kepimpinan negeri.
“Gejala penagihan dadah antara isu besar yang memalit contengan kepada negari jantung hati orang Melayu ini dan vape antara pemulanya.
“Pastikan Terengganu bebas daripada budaya hedonism, sensate culture serta cara hidup bohemian yang meruntuhkan jatidiri Muslim. Insya-Allah tanahair kita mampu membasmi kemiskinan jika sekiranya semua warga memainkan peranan mereka,” katanya. – *HARAKAHDAILY 12/11/2025*











