PMQT tanpa suara pembangkang: Bertanya pun ditolak

Reformasi Parlimen sekadar slogan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) yang sepatutnya menjadi simbol reformasi Parlimen kini dipersoalkan apabila tiada satu pun soalan daripada blok pembangkang dipilih untuk dijawab oleh Perdana Menteri dalam sesi semalam.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, membangkitkan isu tersebut apabila satu-satunya soalan yang dihantar oleh pembangkang ditolak oleh Speaker, manakala dua soalan daripada Ahli Parlimen kerajaan pula dipilih.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, tindakan itu mencerminkan kegagalan PMQT untuk menjadi medan semak dan imbang antara kerajaan dan pembangkang seperti yang dihasratkan dalam reformasi Parlimen.

“Kalau kerajaan sendiri yang bertanya dan kerajaan juga yang menjawab, apa maknanya PMQT ini? Ia bukan lagi ruang pertanggungjawaban, tapi sekadar sesi dalaman kerajaan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sistem PMQT yang diambil daripada amalan Parlimen United Kingdom (UK) sepatutnya memastikan keseimbangan antara soalan kerajaan dan pembangkang.

Di UK, Speaker memberi ruang sama rata dan membenarkan Ketua Pembangkang mengemukakan sehingga enam soalan khas kepada Perdana Menteri tanpa penapisan awal.

“Di Malaysia, pembangkang perlu hantar soalan lebih awal dan Speaker boleh memilih untuk menolak. Akibatnya, soalan-soalan kritikal seperti berkenaan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika (ART) tidak diberi peluang dibahaskan,” katanya lagi.

Nurul Islam menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan semangat reformasi yang dilaungkan oleh kerajaan.

“Kalau benar mahu reformasi, sepatutnya PMQT membuka ruang seluasnya kepada pembangkang untuk bertanya dan menyoal. Tapi kalau hanya pilih soalan yang mudah dijawab, ia bukan reformasi, itu sekadar slogan,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan Speaker seharusnya neutral dan melindungi hak semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

“Speaker tidak boleh bertindak seolah-olah penjaga kerajaan. Ahli Parlimen pembangkang juga mewakili suara rakyat. Menghalang mereka bertanya soalan bermakna menafikan hak rakyat untuk tahu,” tambah beliau.

Nurul Islam menyeru agar sistem PMQT ditambah baik agar ia benar-benar menjadi medan ketelusan dan akauntabiliti, bukannya alat politik yang menutup ruang semak dan imbang. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -