
KUALA TERENGGANU: Kejayaan pelbagai inisiatif pemulihan di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini membuktikan pendekatan politik matang dan sejahtera mampu menghasilkan pentadbiran yang stabil serta berprestasi tinggi.
Menurut Zuraida Md Noor (PAS-Ladang), kerajaan negeri kini hanya menumpukan pencapaian dan hasil kerja, daripada membalas serangan politik kemarahan.
“Inilah kekuatan baharu Terengganu, politik yang stabil, beradab dan menenangkan rakyat. Dasar pemulihan peninggalan kerajaan lama telah membuktikan wajah baharu politik dan pentadbiran negeri.
“Dasar pentadbiran kita tidak menuding jari ke belakang. Sebaliknya, kita mengambil pendekatan memulih, membaiki dan menghidupkan semula projek-projek berpotensi tinggi tersebut, satu demi satu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara projek besar yang berjaya dipulihkan termasuk Stadium Sultan Zainal Abidin, di mana kini beroperasi penuh sebagai mercu aktiviti sukan dan rekreasi rakyat Terengganu.
“Stadium Sultan Zainal Abidin, yang dahulu menjadi simbol kecuaian dan kegagalan, kini menjadi kebanggaan baharu rakyat, tempat anak muda beraspirasi dalam semangat kesukanan,” katanya.
Selain itu, kata beliau, Hotel Paya Bunga yang sebelum ini terbengkalai kini beroperasi semula dengan wajah baharu dan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor pelancongan di pusat bandar Kuala Terengganu.
“Kejayaan memulihkannya bukan sekadar soal bangunan, tetapi simbol bahawa aset negeri boleh diurus semula dengan bijak dan berkesan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memulihkan dan meneruskan beberapa projek perumahan mampu milik seperti di Padang Setenge, Kampung Baru Kerteh dan Batu Rakit bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah terus menikmati peluang memiliki rumah sendiri.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri serius menunaikan amanah menyediakan rumah untuk rakyat, bukan sekadar janji dalam manifesto.
“Justeru, marilah kita terus memperkukuh muafakat ini. Jadikan Bajet ini bukan sekadar angka dan manis sebagai tatapan, tetapi simbol keazaman kita untuk membawa Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











