
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan kerajaan negeri tidak wajar dipersalahkan berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok fasa satu hingga tiga.
Beliau berkata, kelewatan pengambilan tanah bagi projek itu yang bermula sejak tahun 2018 berpunca daripada kegagalan pihak konsultan dan juru ukur yang dilantik Kerajaan Pusat untuk merujuk kepada agensi kerajaan negeri.
“Itu projek Kerajaan Pusat, pengambilan tanah melibatkan lot-lot yang didapati bermasalah, namun mereka tidak rujuk kepada agensi kerajaan negeri. Apabila perkara itu sudah berlarutan, tiba-tiba hendak menyalahkan kerajaan negeri pula,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Rozi Muhamad (PAS-Tendong) Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, semalam.
Menurut beliau, kerajaan negeri mempunyai maklumat lengkap berkaitan tanah terbabit dan pengambilan dapat dilakukan sekiranya konsultan dan juru ukur merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian kerana data tanah itu belum dimasukkan dalam sistem komputer.
Tegasnya, isu kelewatan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyalahkan kerajaan negeri kerana ia melibatkan projek dan pengurusan di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat.
“Kerajaan negeri hanya terima dokumen lengkap sebelum membuat pengambilan tanah yang terbabit dengan projek tebatan banjir. Berdasarkan maklumat, hanya tujuh lagi lot tanah yang masih belum dapat dikesan pemiliknya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 12 projek yang telah diluluskan Kerajaan Pusat di Kelantan juga masih belum dilaksanakan.
“Kalau ada masalah berkaitan tanah, mereka hendaklah merujuk kepada agensi kerajaan negeri untuk diselesaikan,” ujarnya.
Dr Mohamed Fadzli memberi contoh kejayaan pengurusan pengambilan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berjalan dengan lancar apabila pihak pengurusan projek tersebut sering berunding dengan kerajaan negeri.
“Kelantan disebut sebagai antara negeri yang paling cepat menyelesaikan proses pengambilan tanah kerana ada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan pihak projek,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dilaporkan mendakwa kemajuan projek tebatan banjir di Sungai Golok berjalan perlahan kerana masalah pengambilan tanah.
Manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, turut menyatakan sebanyak 14 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Pantai Timur mengalami kelewatan atas sebab yang sama. – HARAKAHDAILY 12/11/2025












