Pendekatan nilai bentuk belia Qawiyul Amin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri menilai keberhasilan dasar “Membangun Bersama Islam” (MBI) bukan lagi sekadar melalui jumlah program dilaksanakan, tetapi berdasarkan perubahan nilai, sikap dan gaya hidup belia di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, ukuran kejayaan dilihat melalui tiga aspek utama iaitu penghayatan nilai Islam dalam gaya hidup, keterlibatan aktif dalam masyarakat serta kemunculan pemimpin muda berkarakter Islamik dan berintegriti.

“Kerajaan tidak mahu hanya menambah angka program, tetapi memastikan setiap program melahirkan perubahan cara fikir dan gaya hidup belia yang berpaksikan Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian sewaktu menjawab soalan daripada Zubir Abu Bakar (PAS-Mengkebang) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2025 sebanyak 56 program berasaskan MBI telah dilaksanakan melibatkan lebih 36,000 peserta dan 3,800 sukarelawan.

Katanya, peningkatan penyertaan belia dalam aktiviti rohani, advokasi komuniti serta kesukarelawanan menunjukkan minat tinggi terhadap penghayatan nilai Islam.

Menurutnya, hasil pendekatan itu juga telah melahirkan ramai belia aktif yang membawa nilai keislaman melalui program seperti Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp, Academy dan ADN Belia.

“Ramai antara mereka kini menjadi fasilitator dan jurulatih muda yang meneruskan penyebaran nilai MBI dalam kalangan rakan sebaya,” ujarnya.

Tambah beliau, program Rakan Muda Al-Quran (RMQ) turut menjadi indikator penting penghayatan nilai MBI dalam konteks moden dengan menilai sejauh mana belia menerapkan nilai Al-Quran dalam kehidupan harian, seni, sukan dan komuniti.

“RMQ menjadikan Al-Quran bukan hanya dibaca tetapi dihidupkan dalam gaya hidup belia kontemporari,” katanya.

Beliau turut menjelaskan keberhasilan MBI dapat dilihat melalui pembangunan kepimpinan belia berperingkat seperti Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp, Academy, ADN Belia dan Felo Darulnaim yang menekankan kefahaman terhadap nilai ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan.

“Generasi muda Kelantan kini bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berfikir secara Islamik dan bertindak dengan integriti,” katanya.

Zamakhshari berkata, kejayaan MBI juga terserlah dalam kesedaran sosial dan tanggungjawab ummah melalui program seperti Echo of Palestine, Anak Muda Tamu Ramadan, Kembara Perpaduan Kaum dan Projek RFP ADN Belia.

Katanya, golongan belia kini bukan sekadar peserta tetapi turut menjadi penggerak advokasi dan ejen perpaduan masyarakat.

Selain itu, pendekatan komunikasi berasaskan naratif Islam juga diperkasa melalui saluran digital seperti media sosial rasmi U-BeS dan KFLI bagi memastikan mesej Islam sampai dengan bahasa dan gaya Gen-Z.

“Ukuran keberhasilan MBI bukan lagi berapa ramai hadir ke program, tetapi berapa ramai yang berubah cara fikir dan gaya hidup kerana Islam,” tegasnya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri yakin pendekatan itu telah berjaya membentuk belia Qawiyul Amin, belia yang kuat jasadnya, mantap akalnya dan luhur akhlaknya sebagai generasi penerus agenda MBI. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -