
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri menilai keberkesanan pelbagai inisiatif pembangunan wanita dan keluarga melalui pendekatan berasaskan indikator menyeluruh yang menumpukan kepada impak sosial, ekonomi serta kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Rohani Ibrahim, berkata kerajaan negeri menggunakan beberapa indikator utama bagi memastikan setiap program benar-benar memberi kesan kepada golongan sasaran.
“Antara indikator yang digunakan ialah tahap penyertaan wanita dalam program, peningkatan taraf sosioekonomi, kesejahteraan keluarga, keberkesanan pelaksanaan dasar serta tahap kesedaran dan perubahan sikap dalam kalangan peserta,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan daripada Mohd Almidi Jaafar (PAS-Bukit Bunga) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Beliau berkata, tahap penyertaan wanita diukur berdasarkan jumlah dan peratusan mereka yang mengikuti latihan, kursus serta program keusahawanan dan kepimpinan dianjurkan agensi kerajaan negeri.
Antara program berimpak tinggi yang dilaksanakan termasuk Hari Sayyidatina Khadijah, Kem Wanita Unggul dan Bijak (KEWAJA), Pink Walk Breast Cancer Awareness, Jom Buat Duit Dari Rumah, dan Bengkel Celik Undang-Undang yang mendapat sambutan meluas daripada pelbagai lapisan wanita.
Menurutnya, peningkatan taraf sosioekonomi pula dinilai melalui pertambahan bilangan usahawan wanita berjaya serta peningkatan pendapatan hasil pelaksanaan Tabung Usahawan Wanita.
“Setakat ini, seramai 135 penerima Tabung Usahawan Wanita berjaya mengembangkan perniagaan mereka. Kajian juga menunjukkan Kelantan antara negeri yang kaum wanitanya mempunyai pendapatan lebih tinggi,” jelasnya.
Katanya, kesejahteraan dan keharmonian keluarga turut dijadikan penanda aras penting melalui pelaksanaan Buku Panduan Keluarga Mawaddah yang membantu pasangan suami isteri menilai tanggungjawab dan memperkukuh hubungan kekeluargaan.
“Penurunan kes perceraian turut menunjukkan kesan positif apabila pada tahun 2024 hanya 3,185 kes direkodkan berbanding 4,468 kes pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, keberkesanan dasar dan program juga diukur berdasarkan laporan pemantauan serta maklum balas peserta, manakala tahap kesedaran dan perubahan sikap diambil kira melalui kajian impak selepas program.
“Setiap indikator ini dipetakan selaras dengan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028 bagi memastikan setiap pelan tindakan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, melalui pendekatan penilaian menyeluruh itu, kerajaan negeri dapat memastikan setiap inisiatif pembangunan wanita dan keluarga memberi kesan positif terhadap kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat.
“Keberkesanan pelaksanaan program ini wajar dijadikan model rujukan bagi negeri lain dalam memperkasa wanita sebagai agen pembangunan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











