
KUALA TERENGGANU: “Saya ingin ulangi kata-kata Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim/PMX) suatu masa dahulu, ‘Pemimpin beri alasan subsidi minyak jadi beban patut dihumban!’, (justeru, kini) mungkin sudah tiba masanya Anwar (PMX)mencerminkan diri sendiri dan bersedia untuk dihumban.”
Itu penegasan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim susulan tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara terburu-buru, yang jelas memperlihatkan kegagalan kerajaan dalam mengekang isu penyeludupan bahan api tersebut dan kini harganya mengalami kenaikan.
Menurutnya, kerajaan tergesa-gesa menyasarkan subsidi diesel namun tiada sebarang usaha dilakukan untuk menyelesaikan isu ketirisan minyak.
“Kerajaan dilihat seperti memangsakan rakyat dalam situasi ini dan membiarkan seluruh rakyat menanggung beban akibat daripada kelemahan pentadbiran kerajaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyatakan, baru sahaja beberapa hari penyasaran subsidi diesel diumumkan, sudah banyak rungutan dan rintihan didengari khususnya dalam kalangan rakyat.
“Beberapa syarikat dan industri sudah mula menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka ekoran pelarasan harga runcit diesel kerana kos yang ditanggung oleh mereka semakin tinggi.
“Selain itu, harga barangan bagi sektor pembinaan meningkat hampir 30 peratus dikatakan yang tertinggi dalam sejarah susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” ujarnya.
Menurut beliau, golongan pesawah, petani serta pekebun kecil juga antara yang terhimpit akibat penyasaran subsidi diesel.
“Rata-rata yang terlibat dalam sektor pertanian mengatakan mereka kini berdepan kerugian kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi penggunaan operasi jentera.
“Kerajaan ada menyediakan bantuan tunai BUDI MADANI sebanyak RM200 setiap individu untuk menampung perbelanjaan bahan api diesel, namun nilai itu terlalu kecil dan tidak mencukupi bagi menampung kos pengangkutan sektor mereka,” jelasnya.
Tambah Ahmad Amzad, PMX sebelum ini mendakwa pelaksanaan subsidi diesel bersasar tidak akan memberikan kesan kepada majoriti rakyat di Malaysia kerana ia hanya melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan bukan warganegara.
“Namun hakikatnya, rakyat sebagai pengguna akhir adalah yang paling terkesan akibat daripada penyasaran ini. Kenyataan PMX itu bercanggah dengan situasi yang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini,” tegasnya.
Menurut beliau, pada 1 Mac yang lalu, Kerajaan Madani telah menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus ke 8 peratus, namun sehingga kini, masih belum ada penyelesaian kesan daripada kenaikan tersebut.
“Gaji rakyat masih lagi rendah, kos sara hidup saban hari makin tinggi. Sekarang, Kerajaan Madani laksanakan pula penyasaran subsidi diesel.
“Rakyat sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup yang semakin kritikal dan ditambah pula dengan kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20, sudah pastinya rakyat semakin merana dengan kesan berganda akibat daripada penyasaran tersebut.
“Dahulu semasa jadi pembangkang, cakap berdegar-degar kononnya kerajaan ketika itu zalim. Namun, lain pula ‘plot twist’ setelah menjadi kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024




















