Negeri kaya, infrastruktur di Sungai Bakap ketinggalan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dikelilingi kawasan yang pesat membangun, namun ia masih jauh ketinggalan kemudahan asas.

- Advertisement -

Paling ketara masalah bekalan air gagal diselesaikan kerajaan negeri sehingga sekarang. Penduduk sukar mendapat bekalan air terutamanya ketika waktu puncak.

ADUN Bunut Payong Shaari Mat Yaman berkata, masalah itu disuarakan penduduk tempatan ketika beliau membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail baru-baru ini.

Katanya, isu bekalan air masih tidak kesudahan sehingga sekarang yang menyukarkan penduduk melaksanakan tugas harian.

“Isu air menjadi rungutan rakyat sejak dahulu sehingga sekarang di Sungai Bakap. Begitu juga masalah infrastruktur di mana ada di kampung jalan tidak sempurna.

“Sedangkan Pulau Pinang sebuah negeri yang kaya, namun kemudahan untuk rakyat di kampung masih banyak ketinggalan,” katanya di sini.

Shaari dan petugas pilihan raya dari PAS Kota Bharu berada di DUN Sungai Bakap bagi membantu kempen calon PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung 6 Julai ini.

DUN Sungai Bakap berada di bawah Parlimen Nibung Tebal yang diwakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek manakala DUN Jejawi dan Sungai Acheh yang terletak bersebelahan diwakili Exco kerajaan negeri.

Shaari juga berkata, penduduk tempatan yang ditemui turut memberitahu kehidupan mereka semakin tertekan ekoran kenaikan harga barangan keperluan harian sekarang.

Menurutnya kenaikan mendadak harga diesel RM1.20 seliter pada 10 Jun lepas memberi kesan langsung terhadap harga barangan.

“Biarpun menteri memberi jawapan berbeza dengan menafikan berlaku kenaikan harga barang, namun apa yang berlaku di bawah sebaliknya.

“Pada pandangan saya situasi di Sungai Bakap sekarang berbeza jauh dengan PRK Kuala Kubu Baharu kerana ketika itu belum berlaku kenaikan harga diesel,” katanya yang juga Penyelaras Pilihanraya Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Beliau juga berkata, calon PN ada kelebihan kerana beliau merupakan anak jati Sungai Bakap yang dekat dengan rakyat.

Katanya Abidin lebih dikenali penduduk Sungai Bakap kerana pernah bertugas sebagai pembantu khas kepada bekas ADUN, Allahyarham Nor Zamri Latiff. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -