Presiden Kenya dengar suara rakyat, orang muda

'Perarakan Sejuta Orang' akan tetap diadakan di Kenya pada hari ini, Khamis 27 Jun 2024. (FOTO: Instagram)
- Advertisement -

NAIROBI: Presiden Kenya, William Ruto tidak akan menandatangani rang undang-undang cukai dan kewangan yang telah menimbulkan kemarahan rakyat di negaranya, susulan protes besar-besaran yang melanda dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh.

Bercakap menerusi sidang televisyen pada Rabu, keputusan itu diambil setelah memikirkan secara mendalam mengenai kandungan rang undang-undang berkenaan dan mendengar dengan teliti suara rakyat Kenya yang tidak mahu ada kaitan dengan rang undang-undang penuh kontroversi itu.

- Advertisement -

“Saya akur, oleh itu saya tidak akan menandatangani rang undang-undang ini. Rakyat telah bersuara. 

“Berikutan kelulusan rang undang-undang itu, negara mengalami luahan rasa tidak puas hati terhadap rang undang-undang yang diluluskan, malangnya mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan mencemarkan institusi perlembagaan,” katanya, lapor CNN.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyatakan bahawa peristiwa yang berlaku pada Selasa itu merupakan ancaman besar kepada keselamatan negara dan perbincangan mengenai rang undang-undang itu telah ‘dirampas oleh orang berbahaya’.

‘Perarakan Sejuta Orang’ diteruskan hari ini

Rang undang-undang baharu itu mencadangkan kenaikan cukai ke atas barangan seperti roti, minyak masak dan barangan kebersihan. Ia telah diundi dan diluluskan oleh dewan parlimen pada pagi Selasa dan menunggu kelulusan daripada Ruto.

Ia bagaimanapun telah menimbulkan kemarahan rakyat Kenya di mana ribuan penunjuk perasaan telah menyerbu bangunan parlimen Kenya bagi membantah rang undang-undang berkenaan pada Selasa, yang dikatakan bagi membantu negara mengumpul dana bagi membayar hutang asing yang kini mencecah AS$80 bilion (RM377 bilion).

William Ruto mengambil keputusan untuk tidak menandatangani rang undang-undang cukai dan kewangan selepas cadangan itu menimbulkan kemarahan rakyat Kenya. (FOTO: Capital News)

Penunjuk perasaan dalam pada itu berkata mereka akan meneruskan ‘Perarakan Sejuta Orang’ (The 1 Million March) pada hari ini, Khamis (27 Jun), walaupun Ruto menerima tuntutan utama mereka untuk membatalkan rang undang-undang berkenaan.

Sebuah poster yang dikongsi secara meluas di media sosial menyeru semua generasi untuk kembali ke jalan raya di seluruh negara pada Khamis dan menyekat jalan menuju ke ibu negara.

Ruto turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada kesemua mangsa yang maut akibat daripada tunjuk perasaan itu dan menganggapnya sebagai satu kejadian malang yang menimpa.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang kehilangan orang tersayang dengan cara yang sangat malang ini.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan golongan muda di barisan hadapan protes ini untuk mendengar idea dan cadangan daripada mereka,” katanya. – Agensi/– HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -