
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat (18 Oktober) lepas dinilai sebagai akan terus membebankan dan menambah tekanan kepada rakyat.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad berkata, beliau telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 pada kali ini.
Menurut beliau, Belanjawan 2025 tetap mengekalkan kaedah konvensional dan dilihat sudah tepu.
“Seperti menggali lubang B untuk menutup lubang A kerana ia meningkatkan pendapatan dari satu sudut tetapi dari sudut yang lain akan melemahkan pendapatan serta penambahan kepada inflasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025, Fawwaz telah menekankan agar mempertimbangkan pendekatan baharu dalam belanjawan negara seperti berkonsepkan Belanjawan Hidayah yang berlandaskan wahyu daripada Allah SWT – sebagaimana yang disifatkan oleh Ibnu Khaldun sebagai Negara Hidayah, sebagai jalan penyelesaian kepada Belanjawan Konvensional tersebut.
“Dalam Belanjawan Konvensional, bermulanya ekonomi dari atas iaitu menetapkan jumlah belanjawan kerajaan.
“Sumber belanjawan dipungut daripada rakyat untuk memenuhi hasil kerajaan dan dibelanjakan pada masa yang akan datang,” jelasnya.
Tambah beliau, Imam Ibnu Khaldun menyifatkan sistem ekonomi sebegini (konvensional) bertentangan dengan Islam dan digelar sebagai Sistem Jibayah (Belanjawan Jibayah), yang mana sistem cukai yang menekan rakyat dibawah untuk kantung kerajaan.
“Sudah tiba masanya, kerajaan mengimplementasi sistem ekonomi yang berasaskan Islam seperti nukilan Imam Ibnu Khaldun sebagai Negara Hidayah (Belanjawan Hidayah), dengan mengikut petunjuk al-Quran dan Hadis,” hujahnya.
Fokus utamanya, ujar beliau, adalah ekonomi yang bermula dari bawah dengan penetapan minima dan pendapatan lantai iaitu Kaedah Quut As-Sanah.
“Konsep Ekonomi Hidayah sumber pendapatan utamanya bukanlah cukai.
“Ini dibuktikan oleh penolakan cukai oleh Raja Zulkarnain untuk pembinaan projek mega menghalang serangan Yakjuj dan Makjuj sebagaimana Surah Al-Kahfi ayat 94-95.
Sementara belanjawan sistem Ekonomi Hidayah meletakkan poket rakyat sebagai keutamaan dengan perlaksanaan kaedah Quut As-Sanah,” jelas Fawwaz.
Menjelas lebih lanjut, beliau berkata, realiti ini jelas diimplementasi oleh Saidina Umar Al-Khattab RA apabila beliau mengosongkan Baitulmal sekali setiap tahun agar wang negara masuk kepada semua kocek rakyat.
Menurut Fawwaz lagi, kaedah dan sistem tersebut boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan dan golongan intelektual dapat mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan Konsep Belanjawan Hidayah bagi menggantikan Belanjawan Jibayah.
“Saya yakin dan percaya, dasar dan polisi yang berteraskan Islam terutama sistem ekonomi akan menambahkan lagi keberkatan pada Negara dan akan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024




















