Pakaian rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 pelbagai negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang temasya Sukan Olimpik Musim Panas 2024 yang akan diadakan di Paris bermula 26 Julai ini, rata-rata negara yang terlibat sudah mula melancarkan pakaian dan uniform rasmi yang akan dipakai oleh kontinjen negara masing-masing.

Pelbagai jenis dan corak dapat dilihat yang sudah pastinya cuba menggambarkan identiti dan jati diri negara-negara yang bertanding dalam satu acara kejohanan terbesar di dunia itu pada kali ini.

- Advertisement -

Setiap reka bentuk yang dihasilkan pastinya ada makna yang tersendiri bagi melambangkan keunikan dan kreativiti bukan sahaja sebagai sebuah negara, malah sebagai pereka fesyen pakaian. 

Sementelah Paris dianggap sebagai salah sebuah ibu kota fesyen global, dengan beberapa butik fesyen premium tersebar di seluruh bandar raya itu.

Kebanyakan jenama fesyen utama Perancis seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior, dan Lacroix, mempunyai ibu pejabat di Paris pada masa ini.

Justeru pada kali ini, sudah semestinya pakaian rasmi yang bakal digayakan barisan atlet dari seluruh dunia yang akan berkumpul di Paris mesti ‘menang’ terlebih dahulu dari segi gaya, kalau tidak ia bakal menjadi bahan ketawa ‘kerabat’ fesyen di kota raya tersohor itu.

Berikut dipaparkan beberapa rekaan fesyen pakaian rasmi sebilangan negara yang bakal menyertai Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris bermula dari 26 Julai sehingga 11 Ogos depan.

Perancis

Selaku tuan rumah bagi edisi kali ini, Perancis telah melancarkan pakaian rasmi kontinjennya dengan mengumpulkan atlet Olimpik dan Paralimpik Perancis di Sports House of France untuk pendedahan pakaian dan uniform rasmi dari jenama Le Coq Sportif.

Negara tuan rumah ini turut menggunakan warna bendera Perancis bertemakan Bleu-Blanc-Rouge dengan menonjolkan putih sebagai warna utama.


Amerika Syarikat

Negara Amerika Utara ini telah memberikan tanggungjawab kepada syarikat pakaian jenama tersohor, Ralph Lauren bagi mereka bentuk pakaian rasmi kontinjen sejak dari Sukan Olimpik 2008 lagi.

Bagi edisi 2024 kali ini, rekaan kali ini telah menggunakan warna bendera Amerika Syarikat sebagai melambangkan semangat patriotik iaitu merah, putih dan biru.

Bagi acara pembukaan, atlet pasukan AS akan memakai blazer klasik Ralph Lauren berwarna biru navy dengan perincian merah dan putih serta dipadankan dengan baju Oxford, tali leher berwarna biru dan seluar jeans berwarna biru cerah.

Bagi acara penutup pula, Ralph Lauren telah mereka jaket penuh bergaya ala pelumba kereta dengan patch bendera Amerika Syarikat sebagai perincian, dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna putih.


Haiti

Pereka fesyen berbangsa Haiti-Itali, Stella Jean telah dipertanggungjawabkan untuk merekabentuk pakaian rasmi kontinjen Haiti diwakili 15 atlet, yang akan memakainya dengan penuh bergaya pada majlis perasmian menjelang 26 Julai ini di sepanjang Sungai Seine di Paris.

Pakaian kontinjen wanita menampilkan skirt penuh yang mengandungi elemen karya seni Dodard yang digandingkan dengan baju chambray, ditenun di Haiti sebagai sebahagian daripada tradisi negara itu dalam apa yang dipanggil sebagai ‘kapas biru’, warisan yang semakin pupus.

Berlapis di atas ialah blazer tanpa lengan yang dibuat daripada fabrik kitar semula yang disematkan lambang Olimpik Haiti.

Pakaian lelaki pula mempunyai seluar yang memaparkan motif lukisan Dodard yang dipadankan dengan jaket lapangan yang diilhamkan oleh baju Haiti Guayabera. Jaket itu akan dipakai di atas baju berjalur dan dilengkapi dengan selendang bercetak.


Jepun

Pada majlis pelancaran yang diadakan pada April lalu, negara Asia Timur itu melancarkan pakaian rasminya dengan menampilkan baju berwarna merah terang.

Ia diinspirasikan sebagai negara pusat matahari terbit dengan menggunakan 34 peratus bahan kitar semula.

Pakaian rasmi atlet Jepun ini telah dihasilkan oleh jenama Asics Corp. dengan mengambil kira kepanasan iklim di Paris.


Palestin

Walaupun terlibat dalam konflik dan peperangan dengan Zionis Israel yang masih belum menemui penamatnya, Palestin tetap bersemangat untuk menyertai acara sukan berprestij ini.

Penyertaannya pada edisi kali ini akan menjadi penampilan kelapan negara itu di Sukan Olimpik sejak penampilan sulungnya pada 1996.

Pakaian yang akan dikenakan oleh kontinjen negara Asia Barat itu ringkas namun ‘sedap mata memandang’, dengan gabungan warna hitam dan putih yang dilengkapi ciri unik Palestin, sudah tentunya keffiyeh.


Malaysia

Malaysia telah melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara pada 23 Jun lalu menerusi satu majlis pelancaran yang telah diadakan di ibu negara. 

Menerusi kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), ia dilaporkan telah direka bentuk oleh Yonex Sunrise Malaysia bertemakan hitam dan emas, digabungkan dengan unsur-unsur jalur harimau untuk mencerminkan usaha Malaysia yang tidak henti-henti dan ‘ganas’ mengejar pingat emas yang sukar dicapai di Sukan Olimpik.

Namun, rata-rata peminat sukan tanah air tidak berpuas hati dengan baju rasmi yang bakal disarung kontinjen negara dalam temasya berkenaan itu.

Malah, turut mendapat kritikan dan mempertikaikan rekaan baju rasmi berkenaan, atas rasa mereka kecewa dan menganggap pakaian rasmi Malaysia untuk Olimpik Paris 2024 tersebut dihasilkan secara ‘ala kadar’; dan seolah-olah tidak memahami taraf kejohanan sukan Olimpik yang cukup berprestij di peringkat global itu. 

Justeru, daripada enam pakaian rasmi yang masing-masing akan digayakan barisan atlet keenam-enam negara itu kelak di Sukan Olimpik Paris 2024, yang mana satukah paling menambat hati dan menarik perhatian anda; dan yang mana satu pula membuatkan anda dibaluti rasa kecewa atau terus sahaja jadi bahan ketawa anda? – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -