
MARANG: Kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia, berbanding Sabah dan Sarawak telah menambahkan beban kepada pengusaha pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pengusaha pelancongan di Semenanjung tidak menerima subsidi diesel seperti di dua negeri itu menyebabkan mereka berasa resah.
Beliau berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kos operasi resort-resort di pulau menyebabkan pengusaha pelancongan Terengganu semakin terbeban.
“Kenaikan harga diesel ini sebenarnya sangat membebankan pengusaha di mana kebanyakan resort yang tidak mempunyai sambungan tenaga nasional terpaksa menggunakan ‘generator’ yang memerlukan diesel dalam jumlah besar.
“Ini menyebabkan kos operasi meningkat dan memaksa mereka menaikkan harga bilik, makanan dan perkhidmatan lain.
“Kami akan menggesa kerajaan supaya memasukkan industri pelancongan dalam subsidi diesel untuk meringankan beban pengusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Lawatan Kerja Exco Pelancongan dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu di Pulau Kapas, di sini.
Lawatan Razali ke Pulau Perhentian, Pulau Redang, dan Pulau Kapas adalah untuk mendengar sendiri rintihan dan kehendak pengusaha-pengusaha pelancongan.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pelancongan Pulau Kapas dan Gemia, Hussein Chou Abdullah turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
“Pengusaha-pengusaha di pulau-pulau ini kebanyakannya menggunakan genset (generator set) yang beroperasi dengan diesel,” jelasnya.
“Oleh itu, kami berharap agar pihak kerajaan dapat meneliti semula polisi subsidi diesel bagi membantu meringankan beban kos operasi,” ujarnya.
Beliau menyatakan, jika subsidi bersasar diesel tidak disampaikan kepada sektor pelancongan, kos pengendalian akan meningkat dan akhirnya beban tersebut akan dikenakan kepada pengunjung dan pelancong.
“Pengusaha-pengusaha pelancongan berharap agar kerajaan pusat dapat memberi perhatian yang serius terhadap isu ini bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan di pulau-pulau negeri Terengganu.
“Tanpa subsidi diesel, pengusaha terpaksa menaikkan harga sewa bilik dan perkhidmatan lain, yang boleh menjejaskan daya saing mereka dalam menarik pelancong,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024




















