
NIBONG TEBAL: “Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Abidin Ismail daripada PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) akan meneruskan usaha allahyarham Nor Zamri Latiff (Abang Zam) dalam isu air di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.”
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dalam kenyataannya berkata, oleh itu, penduduk Sungai Bakap perlu menaikkan dan memilih serta mengundi Abidin yang mesra dikenali sebagai Abang Abidin supaya perjuangan tersebut berjaya dilaksanakan.
“Jangan risau, kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) telah memberi jaminan akan meneruskan komitmen membantu mengatasi isu air biarpun calon PH kalah dalam PRK kali ini.
“Justeru, demi satu ketumbukan yang lebih jitu, calon PN Perlu memenangi PRK kali ini dan menjadi suara yang seimbang dalam sidang DUN kelak.
“Maka, ayuh semua rakyat Sungai Bakap, kita undi calon PN,” katanya.
Sebelum ini menurut Fawwaz yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang berkata, selepas dipilih rakyat, Abang Zam terus berikrar dan menyusun strategi untuk menyelesaikan isu air di Mukim 5 Sungai Bakap.
Menurutnya, selama enam tahun masalah air berlarutan di Mukim 5 Sungai Bakap sehinggakan pada tahun 2022, sejumlah penduduk turun berhimpun di hadapan DUN Pulau Pinang bagi menuntut hak air bersih daripada kerajaan negeri.
Namun katanya, tiada kedengaran sebarang solusi daripada pihak kerajaan yang diwakili ADUN PKR sehinggalah Abang Zam membawa usul berkenaan isu ini dalam sidang DUN dan menjadi satu topik hangat yang dibicarakan.
Usaha Abang Zam tambahnya, tidak terhenti di situ dan pertemuan demi pertemuan dengan penduduk, syarikat operator dan agensi-agensi berkaitan terus dilaksanakan bagi mencari solusi terbaik dalam menoktahkan permasalahan ini.
“Beliau juga gigih menyingsing lengan turun menyantuni rumah-rumah yang terjejas dengan masalah air. Terbukti, Abang Zam tidak bercakap sahaja demi memancing undi memenangi pilihan raya.
“Usaha perjuangan ini akan diteruskan oleh calon Perikatan Nasional iaitu Abang Abidin yang bekerja rapat dengan Almarhum Abang Zam dahulu bagi menyelesaikan isu utama penduduk Sungai Bakap,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2024




















