BlackRock: ‘Alasan PMX jelek, lemah, memalukan’

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bahawa ekonomi negara akan terjejas sekiranya Malaysia memutuskan hubungan dengan syarikat berkaitan Israel adalah satu alasan yang jelek, lemah dan memalukan.”

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mempunyai tanggungjawab moral untuk tidak meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki oleh BlackRock Inc (BlackRock), iaitu sebuah syarikat yang menyokong rejim Zionis Israel serta menyumbang secara langsung kepada jenayah genosid ke atas rakyat Palestin. 

“Keputusan untuk meneruskan penjualan saham MAHB kepada GIP adalah tindakan tidak bermaruah yang menggadaikan prinsip serta dasar Malaysia yang selama ini mendokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Menurutnya, Khazanah Nasional selaku syarikat milik penuh kerajaan yang mengurus dana kekayaan berdaulat Malaysia memegang mandat untuk membuat pelaburan yang selari dengan kepentingan ekonomi dan sosial negara. 

Selain itu, tambah beliau, Khazanah Nasional juga merupakan pihak yang menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang secara jelas meletakkan tanggungjawab kepada pelabur institusi untuk menghormati hak asasi manusia dalam sebarang keputusan pelaburan mereka.

“Bukankah genosid ke atas rakyat Palestin adalah suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang terang, jelas dan nyata? 

“Bukankah atas alasan ini sahaja Khazanah Nasional dan Kerajaan Malaysia sepatutnya membatalkan urusniaga penjualan saham MAHB kepada GIP kerana urusniaga tersebut melanggar Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang ditandatangani oleh Khazanah Nasional sendiri?

“Tidakkah terdetik di hati Perdana Menteri perasaan bersalah dan berdosa kerana bersekongkol dengan pihak yang melakukan pembunuhan ke atas umat Islam? Ia bukan soal untung dan rugi duniawi sahaja, tetapi suatu obligasi moral dan agama untuk memelihara maruah dan nyawa umat Islam.

“Ada yang kata semasa saya menjadi Perdana Menteri, BlackRock terlibat dalam mengurus sejumlah dana KWSP. Oleh kerana tindakan tersebut boleh dibuat pada masa itu, kenapa ia tidak boleh dibuat sekarang?” soalnya.

Perkara ini menurut bekas Perdana Menteri itu, merupakan satu alasan yang lemah dan dangkal kerana sebagai pengurus dana, tidak ada satu sen pun saham syarikat strategik negara dijual kepada syarikat tersebut pada masa itu. 

“Jangan jadikan penglibatan BlackRock sebagai pengurus dana KWSP pada tahun 2021 sebagai alasan untuk menghalalkan penjualan saham MAHB kepada syarikat yang menyumbang secara langsung kepada jenayah genosid ke atas rakyat Palestin yang bermula pada bulan Oktober 2023 dan masih berlarutan hingga ke hari ini,” katanya.

- Advertisement -