Waspada bila syarikat berkait Yahudi urus lapangan terbang kita

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar berwaspada apabila syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi diberikan hak untuk menguruskan lapangan terbang di negara ini.

- Advertisement -

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim, perkara itu perlu diberi perhatian serius walaupun Perdana Menteri memaklumkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah warga Malaysia.

Beliau menyatakan demikian dengan mengimbau apa yang berlaku kepada Iraq sewaktu Perang Teluk dahulu.

Katanya, ketika era perang Iran-Iraq pada tahun 1980 hingga 1988, banyak syarikat dari negara barat yang diberikan kontrak pembinaan infrastruktur dan bangunan-bangunan strategik di Iraq seperti jambatan, kubu pertahanan, bangunan kementerian, lapangan terbang dan lain-lain.

“Malang bagi Iraq, apabila berlaku Perang Teluk 1990, negara-negara barat yang syarikat mereka sebelum ini mendapat pelbagai kontrak pembinaan di Iraq akhirnya bersekutu bersama Amerika Syarikat dalam pasukan Tentera Bersekutu untuk menyerang Iraq,” ujarnya menerusi laman Facebook, hari ini.

Menurut beliau, Operasi Desert Storm dan pengeboman udara menjadi lebih mudah kerana rahsia negara Iraq berada di tangan musuh.

Tambahnya, pelan bangunan-bangunan strategik negara berada dalam tangan musuh sehingga kekuatan Tentera Udara Iraq dilumpuhkan begitu mudah dengan pengeboman tepat ke Pusat Kawalan Pengkalan Tentera Udara Iraq.

“Ini pengajaran mahal. Hati-hati bila syarikat yang ada kaitan dengan Yahudi diberikan hak untuk menguruskan lapangan terbang kita walau PMX kata Pengerusi dan CEO MAHB adalah warga Malaysia.

“Walau Khazanah bersama KWSP masih pemegang saham majoriti MAHB,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Beliau juga menekankan bahawa lapangan terbang adalah lokasi yang sangat strategik dan pintu masuk negara. – HARAKAHDAILY 27/6/2024

- Advertisement -