Usul terakhir isu MAHB ditolak

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usul terakhir mengenai penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) untuk dibahaskan dalam Parlimen masih lagi ditolak.

Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul tersebut ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul alasan bahawa Perdana Menteri telah menerangkan tentang perkara tersebut.

- Advertisement -

“Beliau menyatakan isu MAHB ini telah dijawab oleh Perdana Menteri ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (nombor 1) pada Selasa ,25 Jun 2024 yang lalu,” katanya.

Menurut beliau, usul sebegini tidak lagi boleh dihantar bagi dibahaskan dalam Dewan Rakyat dan memaksa dirinya mencari saluran lain bagi mendesak kerajaan untuk menangguhkan urus niaga tersebut terlebih dahulu.

Tambah beliau, kerajaan seolah-olah bertindak memekakkan telinga apabila disebut mengenai isu tersebut.

“Kita perlu menggunakan cara lain supaya kerajaan menangguhkan dulu urus niaga penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP yang dimiliki BlackRock.

“Apa pun kita serahkan dulu perkara ini kepada Khamar Khas untuk dibahaskan dan Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen untuk perbincangan teknikal,” ujarnya.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan  Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sinar Harian melaporkan bahawa berdasarkan senarai pelaburan BlackRock di Malaysia, sektor perbankan merupakan tiga entiti tertinggi dilaburnya iaitu Public Bank sebanyak RM2.34 bilion (2.75 peratus), diikuti Maybank RM2.16 bilion (1.88 peratus) dan CIMB RM1.42 bilion (2.07 peratus).

Namun begitu, Tenaga Nasional Berhad di tangga keempat dengan pelaburan sebanyak RM8.6 juta (1.32 peratus), disusuli Metal Aluminium RM625 juta (1.62 peratus) dan CelcomDigi RM526 juta (1.03 peratus). 

Beliau menggesa kerajaan supaya tidak mengabaikan isu tersebut memandangkan lapangan terbang merupakan aset strategik negara ini.

”Kerajaan jangan memekakkan telinga seperti lembu yang sudah kekenyangan dan seharusnya mempunyai sifat bermaruah dalam pertahankan aset strategik negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -