Tiada pertindihan tugas, mengapa bubar MAVCOM

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sangat jelas berfungsi bagi mengawal selia perkara ekonomi yang berhubung kait dengan industri penerbangan di Malaysia.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, MAVCOM juga mampu mengendalikan aduan penumpang dan sama sekali tiada kaitan dengan hal keselamatan pesawat.

“Manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hanya fokus kepada teknikal yang berkait dengan penyelenggaraan dan pengendalian pesawat.

“Kedua-duanya mempunyai fungsi yang jelas dan tidak berlaku pertindihan bidang tugas akan kewujudan entiti tersebut,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) MAVCOM (Pembubaran) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Oleh demikian, Shaharizukirnain turut mempersoalkan mengapa MAVCOM dibubarkan dan diserapkan ke dalam CAAM.

“Jika sebelum ini menteri memberi alasan penggabungan ini adalah kerana bagi meningkatkan persepsi pengurusan dan mengurangkan birokrasi, mengapa tidak sebaliknya CAAM diserapkan ke dalam MAVCOM dan digubalkan CAAM ini?

“Sedangkan umum mengetahui pada 11 November 2019, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah menurunkan penarafan keselamatan udara Malaysia kepada kategori dua.

“Penurunan penilaian ini telah memberi impak yang sangat signifikan kepada industri penerbangan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2024

- Advertisement -