Kerajaan PH-BN sudah ‘goyang’ kah?

Tuan Ibrahim (kanan), Takiyuddin (tengah) dan Fahmi.
Tuan Ibrahim (kanan), Takiyuddin (tengah) dan Fahmi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat ‘goyang’ sehingga terdesak dan terpaksa mencipta cerita kononnya PAS mahu menyertai mereka.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata ahli PAS tidak pernah mendengar pimpinannya mahu bekerjasama dengan kerajaan PH-BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan.

- Advertisement -

“Tiba-tiba semasa hari penamaan calon Sungai Bakap, Menteri PH-BN dari PKR, Fahmi Fadzil berkata, PAS sedang berunding untuk bersama kerajaan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa sekarang dalam nak menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini isu nak bersama kerajaan bangkit?

“Pulau Pinang walaupun kubu kuat PH sebelum ini dan didominasi pula DAP, tetapi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, PAS dan PN berjaya menarik sokongan Melayu Islam buat pertama kali.

“(PAS dan PN berjaya menarik sokongan Melayu Islam) sehingga Perikatan Nasional (PN) berjaya menang tiga kerusi Parlimen dan 11 DUN, termasuk Sungai Bakap yang rata-rata merupakan kerusi-kerusi majoriti Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Gergasi PKR dan Umno menurutnya tumbang dalam PRU15 di Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat keluarga PMX, Puteri Refromasi, Nurul Izzah Anwar ditumbangkan calon PN-PAS Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan majoriti 5,272 undi. 

Beliau menyatakan, di Parlimen Kepala Batas, kerusi bekas Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi calon PN daripada PAS, Dr Siti Mastura Muhammad berjaya menumbangkan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Reezal Merican Naina Merican  dengan majoriti 2,867 undi.

“Dalam PRN ke 15, calon-calon PN-PAS berjaya mempertahankan DUN tunggal Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan menumbangkan calon-calon PH-BN di enam kerusi DUN lain termasuk Sungai Bakap.

“Menurut rekod PAS tidak pernah menang lebih dari seorang Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang, tetapi hari ini, hasil dari kesedaran politik khasnya dalam kalangan umat Melayu Islam PAS berjaya melonjakkan prestasinya kepada dua Ahli Parlimen dan tujuh ADUN,” jelasnya.

Menurutnya, inilah yang merisaukan kerajaan PH-BN sehingga terdesak terpaksa mencipta cerita kononnya PAS mahu menyertai mereka kerana mereka tiada sokongan dari umat Melayu Islam Pulau Pinang.

“Ditakdirkan Allah SWT sekiranya gelombang kebangkitan dan kesedaran politik umat Melayu Islam Pulau Pinang masih kental dan tebal, tidak mustahil Sungai Bakap kekal di tangan PN-PAS, taburlah cerita dongeng apa sekali pun.

“Ayuh pengundi Sungai Bakap, tolak PH-BN dan kekal bersama PN!,” tegas beliau. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menegaskan pendirian bahawa tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular ketika ini.

Turut dilaporkan media tempatan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa PAS tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -