‘Itu suara nakal yang gagal fahami perbezaan…’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ia hanyalah suara nakal hasil daripada kegagalan untuk memahami perbezaan pelaburan di dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham dengan penguasaan tinggi dalam aset-aset strategik negara.”

Itu hujah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyentuh mengenai gesaan sebahagian anggota kabinet agar kerajaan-kerajaan negeri menutup operasi kilang-kilang yang mempunyai pelaburan daripada BlackRock.

- Advertisement -

Beliau sebaliknya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan Perpaduan membuat keputusan yang betul dan wajar dengan menolak penglibatan BlackRock dalam pemilikan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui syarikat Global Infrastructure Partners (GIP), sekaligus menjunjung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan tadbir urus beretika.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan PMX sebelum ini yang mengatakan bahawa ekonomi negara akan terjejas jika Malaysia bertindak memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel.

“Untuk kekal konsisten dengan pendirian dan tindakan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia terhadap Palestin selama ini, adalah penting kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri tidak membenarkan entiti yang terlibat dalam kekejaman di Palestin bertapak di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Fadhli, umum mengetahui bahawa BlackRock telah dikenal pasti terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di Semenanjung Gaza. 

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan bertarikh 20 Jun 2024, ujar beliau, telah secara jelas menamakan BlackRock sebagai institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel. 

“Menurut kenyataan tersebut, kegagalan BlackRock untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar-pengeluar senjata tersebut bermakana BlackRock terbabit secara langsung dalam kesalahan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.

“Tersirat dalam kenyataan PBB ialah kewajipan bagi negara anggota untuk memberikan tekanan, dengan apa-apa cara yang ada kepada pihak yang terlibat dalam atau membolehkan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, agar menghentikan tindakan mereka serta-merta,” jelasnya.

Oleh itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan bahawa Malaysia sebagai negara anggota PBB harus mengambil kira seruan itu.

“Malaysia wajib dengan segera memberitahu BlackRock bahawa ia bukan rakan kongsi yang dialu-alukan dalam pemilikan dan pengendalian lapangan terbang negara.

“Situasinya yang sedang berlaku di Palestin adalah sebenarnya agak mudah untuk difahami dan diketahui umum iaitu satu entiti Zionis sedang berkuasa di bumi Palestin. 

“Entiti tersebut sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza atas dasar perkauman dan bermotifkan penjajahan,” hujah beliau.

TJustery Fadhli menyatakan, bagi menghentikan kekejaman Zionis Israel itu, semua pihak yang bencikan kezaliman yang sedang berlaku ini mesti bertindak secara kolektif untuk menyekat entiti Zionis ini dari terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga Palestin.

“Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan tidak mengadakan sebarang kerjasama atau melabur dalam entiti yang terlibat dalam jenayah Israel. Ini sepatutnya menjadi asas yang jelas kepada keputusan untuk tidak membenarkan BlackRock terlibat dalam MAHB, iaitu sebuah aset negara kita yang strategik,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

- Advertisement -