
KUALA LUMPUR: Tiada sebab mengapa perlu dijual 30 peratus pemilikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihak asing, apatah lagi yang dipelawa itu adalah pihak asing yang sudah terang lagi bersuluh hasad dan jahatnya terhadap Palestin.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, MAHB bukan syarikat yang rugi, apatah lagi bermasalah kerana bagi tahun kewangan 2023, keuntungan MAHB berjumlah RM543 juta dengan tunai dalam akaun sebanyak RM1.845 bilion iaitu pencapaian pasca pandemik yang luar biasa.
“Teramat jelas, dasar pelaburan di zaman Ekonomi Madani terlalu longgar, tidak strategik, tidak patriotik dan lebih malang bersifat hipokrit.
“Menyahut bantahan rakan-rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional, dan terbaru kebimbangan Tun Dr Mahathir berhubung penjualan MAHB ini, seperti ada udang di sebalik batu, seharusnya kita berhati-hati dengan pihak asing yang sedang berdiri di sebalik pintu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, MAHB adalah pengendali tunggal 39 lapangan terbang seluruh negara, iaitu pintu keluar masuk negara. Untung ratusan juta, konsesi puluhan tahun dan aset sangat strategik serta operasi diiktiraf bertaraf dunia.
Di rantau ASEAN, menurutnya, aset logistik menjadi buruan kuasa besar dunia, pelabuhan mahupun lapangan terbang. Apatah lagi kedudukan geografi Malaysia yang amat strategik, pemilikan lapangan terbang mempunyai nilai geopolitik dan kedaulatan ekonomi yang amat tinggi.
“Setiap rumah ada pintu, dan setiap pintu ada kuncinya. Supaya tidak mudah-mudah orang asing masuk ke rumah kita, kunci hendaklah sentiasa di tangan kita.
“Benar, hari ini kita adalah tuan rumah, mereka hanya dipelawa menjadi ‘penjaga pintu’. Namun nasib kita sebagai tuan rumah di kemudian hari, tiada siapa yang tahu. Tanyalah saudara kita di kejauhan sana, mereka lebih mengerti.
“Permintaan kami, hentikan penjualan 30 peratus MAHB. Biarkan kekal dimiliki ekuiti tempatan, dibiayai dana tempatan, diurus anak tempatan, diwarisi anak watan. Selamatkan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 21/6/2024




















